JORGE Martin Faham Kenapa Permintaan Aprilia Ditolak

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/11/20251 min read

JORGE Martin akur dan faham mengapa permintaan Aprilia untuk memperoleh sesi ujian khas sebelum kepulangan semulanya secara rasmi ke MotoGP ditolak.

Martin sah akan membuat penampilan pada Pusingan 4 MotoGP di Grand Prix Qatar pada minggu ini selepas sekian lama tersisih sejak Februari lalu susulan kecederaan yang dihadapinya.

Situasi itu menyaksikan penyandang juara dunia MotoGP itu hanya memperoleh tempoh singkat menguji jentera Aprilia RS-GP yang membuatkan pengeluar Itali itu membuat permohonan berkenaan.

Tetapi malangnya, inisiatif itu gagal mendapat sokongan penuh yang diperlukan daripada pengeluar lain yang bersaing di kejuaraan berkenaan.

Menyifatkannya sebagai idea yang cukup baik untuk masa depan, Martin turut mendedahkan yang keputusan itu dibuat oleh Aprilia dan bukan permintaannya.

"Saya faham kenapa ia tidak berlaku, kerana... Adalah normal, kamu tidak akan membenarkan pencabar kamu melakukannya pada ketika ini," kata Martin.

"Saya fikir ia adalah idea yang bagus untuk masa depan. Jika pelumba tersisih untuk dua atau tiga perlumbaan, saya fikir mereka berbincang untuk membenarkan pelumba mencubanya (jentera MotoGP) jadi ia tidak perlu menunggu sehingga minggu perlumbaan untuk mengujinya.

"Kerana sekarang ia adalah kes saya. Saya tidak tahu keadaan fizikal saya, jadi saya perlu mencubanya pada minggu perlumbaan dan ia boleh dikatakan sedikit tidak selamat."

Jika perubahan peraturan itu diluluskan, ia hanya digunapakai oleh pelumba-pelumba Ducati, Aprilia dan KTM kerana Honda dan Yamaha memang diberikan pelepasan untuk mengadakan ujian persendirian berikutan status konsesi mereka.