JORGE Martin menjuarai gelaran dunia MotoGP musim ini dan kejayaan itu mengikuti apa yang dilakukan legenda Itali, Valentino Rossi iaitu memenanginya bersama pasukan satelit.
Bersama Pramac Ducati, Martin berjaya menghalang pelumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia untuk merangkul gelaran ketiga berturut-turut menerusi persembahan cukup konsisten musim ini.
Begitupun, pelumba kelahiran Sepanyol itu tidak lagi menunggang jentera Ducati pada musim 2025 apabila menyertai Aprilia dengan situasi itu memberikan peluang untuk menyamai satu lagi rekod Rossi.
Rossi sebelum ini mencipta salah satu cerita menakjubkan di MotoGP apabila meninggalkan Honda selepas menjulang kejuaraan dunia bersama pasukan itu pada 2003 untuk menyertai Yamaha.
Dan keputusan itu jelas berbaloi apabila perpindahan itu turut menyaksikan Rossi mempertahankan gelaran dunianya bersama Yamaha pada musim 2004 malah turut memenangi perlumbaan pertamanya bersama pengeluar Jepun itu di Afrika Selatan.
"Saya fikir ia satu cabaran yang amat besar. Ia pasti amat sukar," kata Martin memetik laporan Motorsport mengenai peluangnya untuk menjuarai perlumbaan pertamanya bersama Aprilia.
"Tidak mudah untuk datang daripada projek yang merangkul kemenangan kepada projek yang tidak mempunyai perkara itu ketika ini.
"Tetapi saya mempunyai keyakinan yang tinggi dan saya fikir projek baharu ini memberikan saya lebih motivasi. Saya memperoleh masa yang menakjubkan di Ducati, malah saya memenangi kejuaraan.
"Tetapi projek baharu ini memberikan saya lebih motivasi untuk cuba menjadi seseorang dalam sukan permotoran dunia."
Kempen MotoGP musim 2025 dijadual membuka tirainya di Buriram, Thailand pada 2 Mac depan.