JORGE Martin Juarai Perlumbaan 'Basah' GP Jepun 2023, Marc Marquez Beri Honda 'Senyuman'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/1/20232 min read

JORGE Martin muncul pelumba paling gembira di perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Jepun 2023 apabila pelumba Pramac Ducati itu dinobatkan sebagai juara dalam aksi 'Basah' di Motegi, hari ini.

Kemenangan di Jepun itu menyaksikan Martin dari pasukan satelit Ducati, Pramac Racing terus menghambat kedudukan Francesco Bagnaia di puncak kejuaraan MotoGP apabila kedua-duanya kini hanya dibezakan tiga mata.

Begitupun, kelegaan juga buat pelumba 'Factory' Ducati, Bagnaia apabila dia turut menamatkan perlumbaan selaku naib juara dalam aksi yang terpaksa dihentikan dua kali susulan hujan lebat di Motegi.

Sekalipun terpaksa dihentikan sebanyak dua kali dan perlumbaan dipendekkan, mata penuh diberikan kepada pemenang yang menyaksikan Martin mengutip 25 mata penuh.

Turut ceria pastinya pelumba pasukan 'tuan rumah', Marc Marquez dari Repsol Honda apabila juara dunia MotoGP enam kali itu turut berdiri di atas podium selaku pemenang tempat ketiga.

Kali terakhir Marquez menaiki podium (Perlumbaan utama) adalah di Phillip Island pada tahun lalu.

Perlumbaan di Motegi sememangnya penuh drama apabila pelumba dibenarkan untuk menukar jentera masing-masing seawal pusingan pertama perlumbaan susulan hujan.

Begitupun, lima pelumba bertindak kekal dengan jentera masing-masing iaitu Michele Pirro, abio Quartararo, Stefan Bradl, Franco Morbidelli dan Cal Crutchlow.

Drama yang berlangsung menyaksikan kedudukan pendahulu bertukar tangan namun Martin kembali memimpin perlumbaan selepas pusingan keenam sebelum bendera merah dikibarkan ketika perlumbaan memasuki setengah pusingan.

Beberapa pelumba turut mengalami kemalangan antara Johan Zarco, Brad Binder.

Perlumbaan dimulakan semula selepas itu namun disebabkan keadaan kekal merbahaya kepada pelumba, bendera merah sekali lagi dikibarkan dengan kemenangan diberikan kepada Martin.

Perlumbaan selepas ini dijadual berlangsung di GP Indonesia yang dijadual pada 13 hingga 15 Oktober ini.

Keputusan Perlumbaan MotoGP GP Jepun 2023

1. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP23)

2. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP23)

3. Marc Marquez (SPA) Repsol Honda (RC213V)

4. Marco Bezzecchi (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22)

5. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Factory (RS-GP23)

6. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16)

7. Augusto Fernandez (SPA) Tech3 GASGAS (RC16)*

8. Fabio Di Giannantonio (ITA) Gresini Ducati (GP22)

9. Raul Fernandez (SPA) RNF Aprilia (RS-GP22)

10. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1)

11. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V)

12. Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V)

13. Cal Crutchlow (GBR) Yamalube RS4GP (YZR-M1)

14. Stefan Bradl (GER) LCR Honda (RC213V)

15. Pol Espargaro (SPA) Tech3 GASGAS (RC16)

16. Michele Pirro (ITA) Ducati Lenovo (GP23)

17. Franco Morbidelli (ITA) Monster Yamaha (YZR-M1)

18. Miguel Oliveira (POR) RNF Aprilia (RS-GP22)

19. Maverick Viñales (SPA) Aprilia Factory (RS-GP23)

Johann Zarco (FRA) Pramac Ducati (GP23)

Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16)