'JORGE Martin Layak Julang Gelaran Dunia 2024'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/12/20241 min read

JUARA dunia dua kali MotoGP, Casey Stoner percaya Jorge Martin cukup layak menjuarai gelaran dunia MotoGP musim ini.

Tetapi pada masa sama, legenda kelahiran Australia itu turut mengakui yang keputusan pelumba Sepanyol itu untuk meninggalkan Ducati sejurus musim ini bakal memberikan kesan cukup mendalam kepadanya.

Martin yang sudah mengikat kontrak bersama Aprilia pada musim depan ketika ini sedang memimpin kejuaraan dengan kelebihan 24 mata daripada penyandang juara dunia, Francesco Bagnaia dari Ducati Lenovo.

Dilihat berpeluang cukup besar untuk mengesahkan kejuaraan itu di pusingan terakhir MotoGP di Barcelona, pelumba pasukan Pramac Racing itu membuat keputusan angkat kaki daripada Ducati selepas 'tempat' yang sepatutnya dikhaskan untuknya di Ducati Lenovo musim depan diberikan kepada Marc Marquez.

"Jorge sudah menunjukkan kemampuannya dan sentisa bertambah baik," kata Stoner memetik laporan Crash.net. "Dia layak untuk menjuarai gelaran dunia MotoGP.

"Untuk Ducati, ia akan menjadi satu tamparan hebat untuk mereka apabila mereka kehilangan khidmat Martin tahun depan, tetapi saya rasa perkara itu lebih dirasai oleh Martin.

"Ini kerana dia sudah menghabiskan banyak tahun bersama pengeluar itu dan setia kepada jenama, berusaha cukup keras untuk menjadi satu-satunya pelumba yang mampu bersaing dengan Bagnaia untuk menjuarai perlumbaan dan kejuaraan dan kemudian mereka menafikan peluangnya untuk beraksi bersama pasukan utama.

"Saya tidak fikir ia adalah adil.

"Tetapi malangnya, itulah kerja yang dilakukan Ducati dan disebabkan itu mereka kehilangan ramai pelumba."

Stoner yang nampaknya sudah berbaik dengan legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi selepas dilihat melakukan latihan di litar lumba VR46 di Itali, baru-baru ini menjuarai gelaran dunia MotoGP bersama Ducati pada 2007 dan Honda pada 2011.