JORGE Martin Layak Julang Gelaran Dunia MotoGP 2024
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/3/20241 min read


'ROOKIE' tunggal MotoGP musim 2024, Pedro Acosta percaya konsistensi dan ketenangan menjadi antara kunci kejayaan Jorge Martin menjulang gelaran dunia dan rakan senegaranya itu layak merangkul kejayaan berkenaan.
Martin dari Sepanyol hanya memenangi 10 perlumbaan (Grand Prix dan Sprint) pada musim ini berbanding 13 pada musim lalu dan jumlah kemenangan yang diperolehnya juga jauh lebih rendah berbanding Pecco Bagnaia.
Begitupun, pelumba pasukan Pramac Ducati itu menjadi antara muka 'tetap' di podium dan berada di posisi itu sebanyak 16 kali daripada 20 pusingan dalam perlumbaan utama.
"Dia layak (menjuarai MotoGP). Dia melakukan langkah yang cukup besar berbanding musim lalu," kata Acosta memetik laporan Crash.net.
"Mungkin dia tidak memenangi perlumbaan seperti sebelum ini, tetapi dia amat konsisten. Konsisten yang saya tiada, dia memperolehinya. Dia juga cukup tenang. Dia tidak melakukan banyak kesilapan, tidak kehilangan mata. Dia benar-benar layak."
Acosta turut kagum dengan kekuatan mental Martin.
"Sejak daripada awal musim, saya benar-benar fokus untuk cuba memahami bagaimana kelas MotoGP," katanya.
"Kita tahu selaju mana Marc. Kita lihat sebesar mana lonjakan dari sudut mental yang dibuat Martin. Kita melihat bagaimana kebangkitan semula (Enea) Bastianini.
"Kita lihat bagaimana Maverick (Vinales) dengan Aprilia melakukan beberapa perlumbaan yang menakjubkan yang saya tidak tahu adakah mereka memahaminya.
"Kami melakukan banyak kesilapan tetapi turut memperoleh beberapa perlumbaan yang baik, kebangkitan, bertarung dengan pelumba-pelumba Ducati. Bertarung dengan pelumba yang mempunyai banyak pengalaman.
"Untuk kita, kami perlu lebih daripada gembira," kata Acosta yang tewas kepada rakan sepasukannya di KTM sebagai pelumba terbaik pengeluar itu namun hanya dibezakan dengan dua mata.
