JORGE Martin Lebih Waspada 'Ancaman' Pecco
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/7/20241 min read


JORGE Martin meneruskan dominasinya di Sachsenring dengan menjuarai Perlumbaan Sprint GP Jerman 2024, semalam - kejayaan yang dilakar sekalipun posisinya sebagai pendahulu dipintas Pecco Bagnaia di awal perlumbaan.
Kembali merampas kedudukan itu pada pusingan ketiga, pelumba Pramac Ducati itu tidak lagi menoleh ke belakang untuk melintasi garisan penamat sebagai juara dengan bergaya.
Kemenangan Sprint itu mengikuti kejayaan yang diperolehnya di gelanggang sama musim lalu selain yang ke-4 buat pelumba kelahiran Sepanyol musim ini.
Bermula di petak utama dan kebiasaannya cukup pintar untuk mengekalkan kedudukan itu di awal perlumbaan, Martin pada satu ketika terpaksa mengisi kedudukan ketiga sebelum bangkit.
"Saya sentiasa fokus tetapi saya perlu mengubah pelan. Saya sudah bersedia untuk satu strategi dan kemudian segala-galanya berubah," kata Martin.
"Saya perlu memintas dengan amat pantas keraja jika saya berada di belakang, perkara akan berlaku sebaliknya. Tekanan sentiasa memberikan kesulitan.
"Kami melakukan yang terbaik dan ia adalah kemenangan. Kami akan mencubanya sekali lagi esok (hari ini)," katanya.
Mengulas pintasan mengejutkan daripada Bagnaia, Martin mengakui ia sesuatu yang mengejutkan dan pergerakan cukup pintar daripada Bagnaia.
"Ia pergerakan yang bijak dan cukup bagus," kata Martin. "Pecco terpaksa bertahan dengan banyak ketika membrek. Pada satu ketika saya tahu dia tidak akan menjangkakan pergerakan.
"Esok (hari ini) saya berharap untuk kekal sebagai pendahulu pada selekoh pertama kerana untuk memintasnya, dia (Bagnaia) akan cukup bersedia."
Kemenangan Sprint di Sachsenring menyaksikan Martin kembali menjarakkan kedudukan di carta pendahulu MotoGP kepada 15 mata daripada pencabar terdekatnya, Bagnaia.
