JORGE Martin Lepas Ujian Perubatan GP Malaysia, Tapi...
Pelumba Aprilia, Jorge Martin terpaksa melupakan aksi GP Australia susulan kecederaan dialaminya ketika Perlumbaan Sprint namun nasib memihaknya apabila perlumbaan utama pada Ahad dibatalkan akibat cuaca buruk, sekali gus membolehkannya mengekalkan jurang 10 mata di belakang Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/29/20261 min read


JAGUH Aprilia, Jorge Martin menarik nafas lega apabila diberi lampu hijau untuk kembali beraksi di Grand Prix (GP) Malaysia 2026.
Begitupun, pasukan perubatan akan menilai semula keadaannya selepas selesai sesi Latihan Bebas 1 (FP1) dengan Martin mengalami retak pergelangan tangan kanan akibat terjatuh ketika beraksi pada perlumbaan Sprint di Phillip Island, Sabtu lalu.
Kecederaan itu pada awalnya memaksa Martin melupakan aksi GP Australia, namun nasib memihaknya apabila perlumbaan utama pada Ahad dibatalkan akibat cuaca buruk, sekali gus membolehkannya mengekalkan jurang 10 mata di belakang Marquez.
Susulan ujian imbasan CT yang mengesahkan tiada keretakan kedua pada lengan bawahnya dan pelumba Sepanyol itu membatalkan hasrat pulang ke Eropah dan terus terbang ke Sepang bagi menjalani ujian perubatan pra-acara.
Aprilia dalam satu kenyataan mengesahkan Pasukan Perubatan Kejuaraan Dunia FIM Martin melepasi ujian berkenaan dan cergas untuk menyertai FP1, namun tahap kesihatannya akan dinilai semula sebaik sahaja sesi itu tamat.
Biarpun dibenarkan berlumba, Martin dan Aprilia bakal berdepan cabaran getir hujung minggu ini memandangkan jentera Ducati mendominasi GP Malaysia sejak empat tahun lalu, manakala pencapaian terbaik Aprilia tahun lalu sekadar di kedudukan ke-10.
Litar Sepang juga sering mengimbau memori buruk buat Martin yang pernah mengalami keretakan pergelangan tangan akibat dua kemalangan berturut-turut ketika ujian pramusim pada awal tahun 2025.
Begitupun, rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi tampil memberi sinar harapan buat kem Aprilia apabila berjaya merekodkan masa pusingan kedua terpantas dan menjadi satu-satunya pelumba bukan Ducati di kelompok enam teratas pada ujian pramusim Sepang lalu.
Dalam perkembangan sama, pelumba Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez yang terpaksa menarik diri di Australia akibat retak jari, turut dilaporkan melepasi ujian perubatan dan disahkan sedia untuk beraksi di Sepang.

