JORGE Martin Luah Rasa Lega
Selepas mempamerkan prestasi cemerlang pada tiga pusingan pembukaan, jarak masa hampir sebulan antara pusingan di Litar COTA dan Jerez — susulan penangguhan Grand Prix (GP) Qatar — dilihat memberi ruang buat Jorge Martin mendapatkan 'rehat tambahan'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/16/20261 min read


PELUMBA Aprilia, Jorge Martin menyifatkan rehat 'tambahan' yang diperoleh pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) ketika ini memberi kelebihan besar buat proses pemulihan fizikalnya, biarpun ia sedikit sebanyak merencatkan rentak dominasi pasukannya awal musim 2026.
Selepas mempamerkan prestasi cemerlang pada tiga pusingan pembukaan, jarak masa hampir sebulan antara pusingan di Litar COTA dan Jerez - susulan penangguhan Grand Prix (GP) Qatar - dilihat memberi ruang buat pesaing seperti juara bertahan, Ducati menyusun semula strategi.
Tetapi bagi Martin yang masih bergelut dengan proses pemulihan selepas menjalani pembedahan akibat kecederaan musim lalu, tempoh rehat itu disifatkan hadir tepat pada masanya.
Menurut juara dunia MotoGP 2024 itu, dia sudah mengerah fizikal ke tahap maksimum yang menyaksikannya memerlukan sedikit rehat.
"Rehat panjang ini pastinya sangat membantu keadaan fizikal saya. Saya selalu rasa apabila saya memaksa fizikal ini ke tahap maksimum, dan kemudian berehat, saya mampu pergi lebih jauh selepas itu.
"Buat masa ini, fizikal saya berada di tahap maksimum dan saya perlukan sedikit rehat."
Menyedari kekangan fizikalnya, Martin mengambil pendekatan bijak dengan bertindak 'menyimpan tenaga' ketika minggu perlumbaan di GP Amerika Syarikat.
Strategi serta pemilihan tayar yang tepat itu membuahkan hasil apabila dia melakar kemenangan sulung jentera Aprilia RS-GP dalam perlumbaan Sprint selepas memintas pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia pada pusingan terakhir.
Dia kemudiannya meneruskan aksi konsisten apabila menamatkan perlumbaan GP sebenar di kedudukan kedua di belakang rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi.
Keputusan itu menyaksikan Martin melangkah ke pusingan Eropah dengan hanya ketinggalan empat mata di belakang Bezzecchi yang kini mendahului carta kejuaraan dunia.
Seperti diketahui, Martin dikhabarkan akan berhijrah ke pasukan kilang Yamaha bagi menghadapi era jentera baharu 850cc bermula tahun 2027.

