JORGE Martin, Maverick Vinales, Raul Fernandez Sah Berentap Di Valencia!
Tiga pelumba, termasuk juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin disahkan cergas untuk beraksi dalam perlumbaan penutup musim di Grand Prix (GP) Valencia hujung minggu ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/13/20251 min read


PERLUMBAAN penutup tirai MotoGP musim 2025 kembali 'hangat' selepas tiga pelumba, termasuk juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin disahkan cergas untuk beraksi di Grand Prix (GP) Valencia hujung minggu ini.
Menurut MotoGP, Martin dari Aprilia Racing, pelumba Tech3 KTM, Maverick Vinales dan jaguh Trackhouse Aprilia Raul Fernandez sudah melepasi pemeriksaan perubatan dan dibenarkan menyertai perlumbaan.
Perkembangan itu dilihat meningkatkan kembali elemen debaran kepada kempen 2025 yang dipenuhi dengan insiden kecederaan yang turut membabitkan bintang Ducati Lenovo, Marc Marquez.
Selepas dihantui pelbagai siri kecederaan, Martin, yang mengalami retak bahu ketika insiden di GP Jepun, sudah menjalani pemeriksaan awal di kediamannya pada Isnin sebelum disahkan cergas oleh pasukan perubatan MotoGP di Valencia semalam.
Vinales dalam pada itu mengalami kecederaan bahu di GP Jerman dan terpaksa berehat sejak pusingan Indonesia manakala Fernandez berdepan kecederaan ketika GP Portugal.
Begitupun, pelumba Sepanyol itu mengharungi penalti dua 'long lap' pada perlumbaan utama susulan kemalangan dengan sepasukannya Marco Bezzecchi di Jepun.
Sementara itu, Vinales yang mengalami kecederaan bahu di GP Jerman kembali bersedia selepas menjalani latihan intensif menjelang perlumbaan di Portimao.
Walaupun tidak beraksi di Portugal, keputusan itu dibuat bagi memastikan tahap kecergasan optimum menjelang Valencia dan ujian pasca musim.
Fernandez pula diketepikan daripada aksi di Portugal selepas terjatuh dalam sesi latihan bebas pertama (FP1) yang menyebabkan bahunya terkehel. Tetapi dia kini disahkan pulih dan bersedia untuk kembali ke litar.
Seperti diketahui, juara dunia MotoGP 2025, Marc Marquez sah tidak beraksi di Valencia bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan.

