JORGE Martin 'Mengganas' Di Le Mans
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/12/20242 min read
JORGE Martin merangkul kemenangan berganda di Grand Prix (GP) Perancis 2024 selepas turut mengungguli perlumbaan MotoGP di Le Mans, hari ini yang semestinya turut memberi mesej penting kepada Ducati Corse.
Bermula di petak hadapan, Martin dari pasukan Pramac Ducati begitupun diberikan cabaran sengit oleh penyandang juara, Francesco Bagnaia yang mendahului hampir keseluruhan perlumbaan sebelum 'kecundang'.
Selepas dipintas Bagnaia dari Ducati Lenovo seawal pusingan pertama, Martin kekal di belakang pelumba Itali itu sehingga pusingan ke-21 sebelum memulakan gerakan.
Dan kedudukan itu kekal sehingga garisan penamat sekalipun nampak seperti bakal dicabar juara dunia MotoGP enam kali, Marc Marquez di penghujung perlumbaan.
Menariknya, Marquez dari Gresini Ducati sekali lagi menampilkan persembahan ajaib untuk menamatkan pelumbaan selaku naib juara sekalipun bermula di petak ke-13.
Dan antara gerakan paling menarik pastinya ketika pelumba Sepanyol itu memintas Bagnaia di pusingan terakhir yang memaksanya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Pada Perlumbaan Sprint, semalam, kemenangan turut menjadi milik Martin dengan Marquez turut mengisi kedudukan kedua dengan keputusan di Le Mans turut menyaksikan Ducati sekali lagi membolot kedudukan podium selepas Jerez.
Sementara itu, perebutan tempat ke-4 turut menarik yang menyaksikan rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini turut berjaya memintas pelumba Aprilia, Maverick Vinales di saat akhir.
Secara keseluruhan, enam pelumba menamatkan perlumbaan dengan status DNF termasuk harapan pelumba tuan rumah, Fabio Quartararo dari Monster Yamaha yang turut beraksi menggunakan 'liveri' istimewa.
Menyertai Quartararo adalah Pedro Acosta (Red Bull GasGas Tech3) dan Marco Bezzecchi dari pasukan VR46 Ducati.
Tiada pelumba daripada pengeluar Jepun berada dalam kedudukan 10 terbaik dengan pelumba tuan rumah, Johann Zarco (LCR Honda) menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12.
Keputusan Perlumbaan MotoGP GP Perancis 2024
Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), 41m 23.709s
Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +0.446s
Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +0.585s
Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +2.206s
Maverick Vinales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +4.053s
Fabio Di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati (GP23), +9.480s
Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati (GP24), +9.868s
Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +10.353s
Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +11.392s
Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +13.442s
Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP23), +24.201s
Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), +26.809s
Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), +27.426s
Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +30.026s
Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +30.936s
Luca Marini (ITA) Repsol Honda (RC213V), +40.000s
Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), DNF
Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), DNF
Miguel Oliveira (POR) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), DNF
Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), DNF
Marco Bezzecchi (ITA) VR46 Ducati (GP23), DNF
Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16)*, DNF