JORGE Martin 'Mengganas' Di Phillip Island, Pecco Ke-4
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/19/20242 min read
JORGE Martin terus menjarakkan jurang selaku pendahulu kejuaraan MotoGP dengan menjuarai Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Australia 2024, hari ini.
Tiba di Phillip Island dengan kelebihan 10 mata, kemenangan buat pelumba Pramac Ducati itu menyaksikan jurang itu kini menjadi 16 mata selepas pencabar terdekatnya, Francesco Bagnaia dari Ducati Lenovo menamatkan aksi di tempat ke-4.
Memulakan perlumbaan di petak utama selepas memecahkan rekod sepusingan litar pada sesi kelayakan, Martin jelas cukup dominan apabila memimpin perlumbaan daripada awal sehingga garisan penamat.
Dan kemenangan turut menamatkan kemarau kemenangan Sprint buat pelumba kelahiran Sepanyol itu yang kali terakhir diperloleh ketika GP San Marino.
Menamatkan perlumbaan di tempat kedua adalah seorang lagi pelumba pasukan satelit Ducati, Marc Marquez (Gresini Ducati).
Sekalipun memulakan perlumbaan di petak kedua, juara dunia lapan kali itu terpaksa bergelut selepas mengharungi permulaan buruk.
Melengkapkan kedudukan podium adalah rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini.
Sementara itu, seramai tujuh pelumba menamatkan aksi di Phillip Island dengan status 'DNF' termasuk insiden ngeri membabitkan pelumba VR46 Ducati, Marco Bezzecchi dan pelumba Aprilia Racing, Maverick Vinales.
Sementara itu, pelumba bukan Ducati terbaik menjadi milik Raul Fernandez yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-6 selepas penalti dikenakan kepada Fabio di Giannantonio (VR46 Ducati).
Menariknya, pelumba terbaik pengeluar Jepun berjaya dirangkul pelumba Honda menerusi Luca Marini (Repsol Honda) yang menamatkan aksi di tempat ke-10.
Dan satu-satunya pelumba KTM yang melepasi garisan penamat adalah pelumba pasukan satelit, Tech3 GasGas, Augusto Fernandez di tempat ke-9.
Keputusan Perlumbaan Sprint GP Australia 2024
Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), 19m 13.301s
Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +1.520s
Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +4.368s
Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +6.879s
Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati (GP24), +9.623s
Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +15.249s
Fabio di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati (GP23), +15.905s
Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +19.280s
Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), +21.126s
Luca Marini (ITA) Repsol Honda (RC213V), +21.194s
Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +21.379s
Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +21.483s
Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), +23.528s
Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +34.055s
Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Racing (RS-GP24), +38.324s