JORGE Martin 'Pasti' Berlumba Di Thailand
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/17/20251 min read


PELUMBA Aprilia, Jorge Martin sedang bersiap sedia untuk kembali beraksi di Grand Prix Thailand 2025 yang juga saingan pembuka tirai kejuaraan elit perlumbaan dua roda itu musim ini.
Penyandang juara, Martin terlepas hampir keseluruhan ujian pra-musim MotoGP di Asia selepas mengalami kemalangan ngeri di Sepang, awal bulan ini yang membuat penampilannya di Buriram, Thailand berdepan keraguan.
Selepas menjalani pembedahan, pelumba kelahiran Sepanyol itu hanya berehat di kediamannya bagi memastikan kecederaan di tangan kanan dan kaki kirinya untuk pulih.
Dan memetik laporan Motosports.com, bekas pelumba Pramac Ducati itu akan tetap membuat kunjungan ke Thailand untuk beraksi pada pusingan pembukaan musim ini yang dijadual bermula pada 28 Februari hingga 2 Mac.
"Jorge berada dalam keadaan yang baik, menampilkan kemajuan dan merancang untuk mula menjalani latihan pada minggu depan untuk mendapatkan keadaan fizikal yang baik bagi menghadapi Thaoland," kata sumber yang rapat dengan pelumba itu.
"Dia sudah pasti akan ada pada perlumbaan pertama, sah. Jadi ayuh kita lihat sama ada dia boleh mendapatkan persiapan yang lebih baik dari sudut fizikal sebelum pergi.
"Dia mempunyai temu janji perubatan pada minggu depan untuk melihat kemajuan kecederaan patah yang dialaminya dan menentukan sama dia boleh mula berlatih."
Selain itu, Martin dipercayai teruja dengan keputusan yang diperoleh Aprilia pada ujian di Buriram yang menyaksikan rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi melakukan catatan ke-3 terpantas.
"Perkara yang baik mengenai Jorge adalah dia mahu tahu segala-galanya. Jelas dia kecewa tidak mampu menghadiri sesi ujian, tetapi kami sentiasa berhubung, minit demi minit," kata Pengarah Teknikal Aprilia, Pablo Bonora.
"Apa yang paling utama, dua mahu tahu maklumbalas kami pada komponen yang kami uji, dan amat mengujakan untuk mendengar (maklumbalas) daripadanya kerana dia seorang yang bersemangat."
