JORGE Martin, Pecco Bagnaia Ada 'Sesuatu'- Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/27/20241 min read

MARC Marquez sekali lagi melakukan 'magis' dengan merangkul podium di Grand Prix Catalan 2024 selepas menamatkan aksi di tempat ketiga di belakang dua pelumba yang disifatkan ada 'kelebihan' Jorge Martin dan Francesco Bagnaia.

Pelumba pasukan Gresini Ducati itu - yang menunggang jentera Ducati GP23 - sekali lagi meraikan kejayaannya itu bagaikan pemenang dengan kedua-dua pelumba di depannya menggunakan jentera spesifikasi terkini GP24.

Tetapi tidak seperti Bagnaia dan Martin yang masing-masing memulakan perlumbaan di petak ke-2 dan tujuh, Marquez memulakan aksi di petak ke-14.

Dan sekalipun menghuni kedudukan ketiga carta pelumba selepas konsisten di podium untuk tiga pusingan berturut-turut, juara dunia MotoGP enam kali itu masih belum yakin untuk meletakkan dirinya sebagai pencabar kejuaraan.

"Jika saya mahu mengejar gelaran saya perlu bermula di dua barisan depan seperti mereka," kata Marquez. "Ia adalah salah satu sasaran tetapi benar mereka ada sesuatu kelebihan.

"Saya memiliki sesuatu dalam sesetengah litar tetapi mereka laju pada semua trek.

"Kami perlu memahami perkara ini dan kami tidak boleh bergelut pada Jumaat, atau bergelut pada Kelayakan 1, tetapi hanya ketinggalan 41 mata di belakang pelumba terbaik selepas enam perlumbaan, jika kamu kata kepada saya pada awal musim, saya akan kata 'di mana saya perlu tandatangan'.

"Saya akan tandatangan untuk menamatkan saingan di kedudukan tiga terbaik dalam kejuaraan pada penghujung kejuaraan."

Turut merangkul podium dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua pada pusingan di Jerez dan Le Mans, pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui podium di Catalunya adalah paling baik.

"Bagi saya, ya (podium terbaik). Di Jerez saya mempunyai kelajuan untuk menang tetapi saya tiada keyakinan untuk melakukannya," kata Marquez.

"Ia adalah kali pertama, bersama Austin saya memiliki kelajuan yang diharapkan tetapi di Austin saya melakukan kesilapan.

"Pada Perlumbaan Sprint di Jerez saya juga melakukan kesilapan jadi saya tiada keyakinan. Kemudian Le Mans saya kelajuan untuk menang dan kedana itu saya boleh mengejar mereka.

"Di sini, saya tiada kelajuan untuk melakukannya. Saya hanya mempunyai kelajuan untuk berada di kedudukan lima terbaik. Dan bermula di petak ke-14 menjadikannya lebih teruk," katanya.