JORGE Martin Percaya Ducati Dah Ada Pilihan, Tidak Perlu Bukti Apa-Apa!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/14/20241 min read

JORGE Martin percaya Ducati Corse sudah pun memutuskan pelumba yang akan bergandingan dengan Francesco Bagnaia di Ducati Lenovo musim depan.

Martin menampilkan persembahan cemerlang di GP Perancis, minggu lalu apabila menjuarai kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan di Le Mans termasuk meraih petak utama.

Lebih menarik, pelumba pasukan satelit Pramac Ducati itu - yang diletakkan sebagai tiga calon utama oleh Ducati Corse bagi tempat di Ducati Lenovo - turut memecahkan rekod terpantas sepusingan di Le Mans.

Selain Martin, pelumba yang dikatakan turut disenarai pendek adalah Marc Marquez dan Enea Bastianini.

Dan bagi pelumba kelahiran Sepanyol itu, tiada apa lagi yang perlu dibuktikan kepada Ducati Corse selain turut percaya pengeluar itu sudah pun mempunyai nama dan hanya menunggu masa untuk membuat pengumuman.

"Saya fikir tiada apa lagi yang perlu saya buktikan," kata Martin memetik laporan Crash.net. "Saya fikir, mengenai masa depan saya, saya boleh katakan perkara yang berlaku dalam beberapa pelumbaan selepas ini tidak akan mengubah apa-apa.

"Malah jika saya menang, jika saya kemalangan, saya fikir saya sudah melakukan apa yang patut saya buat dan saya amat gembira dengan prestasi saya.

"Sudah tentu ia penting, saya fikir ia lebih jelas tetapi saya tidak fikir ia akan berubah.

"Saya adalah pelumba yang sama seperti semalam, seperti pada Khamis lalu.

"Jadi mereka perlu membuat keputusan, saya fikir mereka sudah pun membuat pilihan dan apa saja keputusannya, ia pasti bagus.

"Saya benar-benar mahu pergi ke pasukan 'Kilang' Ducati tetapi jika mereka tidak mahukan saya, atas apa juga alasan yang kita tidak tahu, jadi saya akan berikan bakat saya kepada orang lain."