JORGE Martin Percaya Tempat Ke-2 Paling Maksimum

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/6/20241 min read

JORGE Martin mengakui hakikat pahit yang dia tidak mampu untuk memperoleh keputusan lebih baik berbanding tempat ke-2 di Grand Prix Jepun 2024.

Pelumba Pramac Ducati yang juga pendahulu kejuaraan MotoGP 2024 berdepan situasi sukar di Motegi apabila terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-11.

Tetapi selepas tiga pusingan berlangsung, pelumba kelahiran Sepanyol itu berjaya meletakkan dirinya di kedudukan kedua untuk memberikan tekanan kepada pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia.

Tampak seperti berpeluang mencabar kedudukan juara di penghujung perlumbaan, Martin begitupun terpaksa mengendurkan tekanan untuk memastikan 20 mata dibawa pulang berbanding daripada tangan kosong.

"Sudah tentu, apabila saya merapatkan jurang saya fikir saya boleh membuat gerakan," kata Martin. "Saya melihat Pecco memberi tekanan, kerana dia melakukan beberapa keailapan pada selekoh ke-11.

"Jadi saya berkata ok, dia memberi tekanan sekuat mungkin. Jadi saya berkata ok saya juga akan memberikan tekanan. Dan segala-galanya dalam kawalan.

"Saya hampir berada di had, tetapi dalam kawalan. Tetapi kemudian saya kehilangan (cengkaman) yang agak besar di bahagian depan di selekoh tiga. Saya menyelamatkan keadaan dengan siku saya.

"Kemudian saya kehilangan dua saat, saya hampir ter*** dan berkata 'ok' sudah cukup. Dari sudut kejuaraan, saya fikir kami perlu memikirkan mengenai 20 mata ini selepas bermula daripada petak ke-11.

"Kini penting untuk memperbaiki sesi kelayakan untuk mendapat kedudukan yang baik, kerana apabila saya di depan saya boleh mendahului dan mengawal perlumbaan."

Berbaki empat pusingan termasuk di GP Malaysia, Martin ketika ini memiliki kelebihan 10 mata berbanding Bagnaia.