JORGE Martin Rampas Takhta Kejuaraan MotoGP

Pelumba Aprilia Racing, Jorge Martin merampas semula kedudukan sebagai pendahulu MotoGP Kejuaraan Motosikal Dunia dari Marc Marquez selepas meraih kemenangan dramatik perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Austria 2026

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/19/20261 min read

JAGUH Aprilia, Jorge Martin merampas semula kedudukan sebagai pendahulu MotoGP Kejuaraan Motosikal Dunia selepas meraih kemenangan dramatik perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Austria 2026.

Kemenangan di Red Bull Ring itu begitupun boleh diibaratkan 'durian runtuh' buat Martin apabila pelumba 'tuan rumah' dari KTM, Pedro Acosta berdepan nasib malang apabila terjatuh ketika sedang selesa memimpin saingan yang hanya berbaki 3 pusingan.

Keputusan turut membolehkan Martin mendahului carta kedudukan kejuaraan dengan kelebihan 3 mata ke atas pencabar terdekatnya dari Ducati Lenovo, Marc Marquez.

Martin yang bermula dari petak utama begitupun berdepan kesukaran di awal perlumbaan apabila dipintas beberapa pelumba sehingga berada di kedudukan ke-8 pada satu ketika.

Situasi itu menyaksikan Marquez memimpin pelumbaan namun ia tidak bertahan lama apabila Acosta memimtasnya dan mengambil alih pimpinan perlumbaan.

Acosta pantas menjarakkan jenteranya daripada kelompok pelumba di belakang dengan Martin yang turut dihantui amaran had litar, memulakan kebangkitan dengan memotong satu demi satu pelumba untuk kembali ke kelompok hadapan.

Memasuki pusingan ke-7, Martin berjaya menempatkan dirinya kembali di zon podium selepas memintas rakan sepasukannya di Aprilia, Marco Bezzecchi untuk merampas kedudukan ke-3.

Pada pusingan berikutnya, Martin mempamerkan tunggangan garang apabila melakukan pintasan berani ke atas Marquez di Selekoh 1 untuk berada di tempat kedua, dan terus menjarakkan diri daripada pelumba Sepanyol itu.

Dan meskipun kedudukan kedua seakan sudah memadai buat Martin yang ketinggalan hampir 3 saat di belakang Acosta, tuah memihak kepadanya apabila pelumba Sepanyol itu melakukan kesilapan tanpa asakan di Selekoh 2a pada pusingan ke-12.

Ia membolehkan pelumba Martin melintasi garisan penamat selaku juara diikuti Marc Marquez kedua dan Bezzecchi melengkapkan pentas podium.

Dalam pada itu, pelumba Trackhouse Aprilia, Ai Ogura cemerlang di tempat ke-4 diikuti Alex Marquez (Gresini Ducati) dan Pecco Bagnaia (Ducati Lenovo) manakala baki kutipan mata diisi Johann Zarco (LCR Honda), Fermin Aldeguer (Gresini Ducati) dan Brad Binder.