JORGE Martin Sah Guna Nombor '1'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/17/20251 min read


SELEPAS sekian lama berteka-teki sejak menjulang gelaran dunia MotoGP 2024 pada November lalu, Jorge Martin akhirnya mengesahkan akan menggunakan plat nombor satu bagi kempen MotoGP 2025 bersama Aprilia.
Martin sebelum ini menjuarai gelaran dunianya bersama Ducati namun keputusannya menyertai Aprilia menyaksikan situasi itu menjadi sedikit rumit.
Dan persoalan itu akhirnya terjawab ketika majlis pelancaran jentera dan 'liveri' baharu Aprilia RS-GP25 di Milan, Itali.
"Saya tiada keraguan mengenainya," kata Martin.
Plat nombor 1 sebelum ini dipakai pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia selama dua musim.
Ducati kemudian terlepas peluang untuk menggunakan nombor berkenaan selepas memilih juara dunia lapan kali, Marc Marquez untuk menjadi rakan sepasukan Bagnaia dan menyisihkan Martin.
Ia juga menyaksikan Aprilia akan menggunakan nombor berkenaan buat pertama kali dalam sejarah MotoGP.
Ducati Corse dan Aprilia Racing sebelum ini 'berperang mulut' susulan penggunaan nombor berkenaan.
Sejak permulaan era MotoGP pada 2002, penyandang juara mempunyai pandangan masing-masing mengenai penggunaan plat nombor satu itu.
Antara pelumba yang gemar menggunakan nombor pilihan mereka adalah seperti
Valentino Rossi (46), Marc Marquez (93), Joan Mir (36) dan Fabio Quartararo (20).
Begitupun pelumba seperti Nicky Hayden, Casey Stoner dan Bagnaia mengubah nombor mereka kepada 1 selepas bergelar juara.
Juara dunia MotoGP tiga kali, Jorge Lorenzo pula sedikit berbeza kerana selepas menjulang gelaran pertama MotoGP pada 2011, dia menggunakan nombor 1 pada 2012 dan sekalipun mengekalkan gelaran, pelumba Sepanyol itu menggunakan nombor asal pada 2013 dan sekali lagi pada 2016.
Bagnaia dalam pada itu menjadi pelumba pertama berjaya mengekalkan plat nombor satu pada musim berikutnya di kejuaraan dunia selepas menjuarai gelaran dunia pada 2022 sejak Mick Doohan melakukannya pada 1998.
