JORGE Martin Sertai Ducati 'Factory' Musim 2024?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/31/20232 min read

DUCATI didakwa bersedia untuk membawa pencabar utama kejuaraan dunia MotoGP musim ini, Jorge Martin ke pasukan 'Factory' pengeluar itu bagi musim 2024.

Martin yang ketika ini berlumba bersama pasukan satelit Ducati namun menunggang jentera 'Factory', Pramac Racing sedang mengharungi kempen penuh gemilang dan hanya ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu, Francesco Bagnaia.

Prestasi yang ditampilkan pelumba Sepanyol itu cukup cemerlang dan sekalipun 'tumbang' di Phillip Island, dia berjaya memenangi kedua-dua perlumbaan ditawarkan di Grand Prix Thailand 2023.

Dan menurut laporan media Sepanyol, AS, prestasi itu membuatkannya berpeluang besar 'dinaikkan pangkat' untuk bergelar rakan sepasukan Bagnaia.

Apa yang menarik, AS mendakwa mereka "boleh memberi jaminan daripada paddock di Litar Antarabangsa Chang yang pintu untuk menyertai pasukan rasmi Ducati terbuka sekali lagi untuk Jorge Martin".

Juruteknik Martin di Pramac, Fonsi Nieto ketika ditanya AS sama ada dia menjangkan perpindahan pelumba itu ke Ducati Lenovo berkata: "Saya boleh memberikan kamu banyak jawapan. Ia boleh membuatkan saya sedih dan membuatkan saya gembira.

"Ia membuatkan saya amat sedih kerana pada satu perkara dan saya 100 peratus gembira atas satu perkara lain, tetapi jika ia berlaku kerana ada alasan, kerana kami adalah juara dunia, pasukan pasti akan amat gembira untuk melihatnya. Dan jika dia tidak menang juga.

“Ketika ini, Jorge adalah pelumba yang layak untuk menunggang mana-mana jentera yang dia mahukan di paddock.

"Ketika ini saya fikir dia adalah pelumba di mana pasukan 'Factory' amat mahukan."

Bos Pramac, Gino Borsoi ketika ditanya sama ada dia menjangkakan akan kehilangan Martin berkata: "Saya tak tahu apa yang akan berlaku, tetapi jika ia berlaku, ia berlaku kerana dia layak mendapatkannya."

Tahun lalu, Martin terlepas peluang ke pasukan Ducati Lenovo kepada Enea Bastianini yang merekodkan prestasi jauh lebih baik dan bergelar pelumba kedua terbaik Ducati ketika itu.

Begitupun, debut Bastianini sebagai pelumba 'Factory' musim ini dipalit dengan masalah kecederaan, lebih malang diperoleh ketika aksi pembukaan dan sekalipun menandatangani kontrak dua tahun, situasi yang berlaku kepada Pol Espargaro boleh terjadi kepadanya.

Ketika ini, kempen MotoGP 2023 berbaki tiga pusingan termasuk Grand Prix Malaysia yang dijadual pada 10 hingga 12 November depan.

Sekalipun senarai pelumba Ducati bagi musim 2024 sudah pun dilengkapkan, termasuk penambahan Marc Marquez, ramai melihat masih ada masa untuk satu lagi perkara besar boleh berlaku.