JORGE Martin Tak Sertai Aprilia Kerana Wang - Massimo Rivola
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/4/20241 min read
APRILIA sekali lagi mencipta sensasi apabila berjaya mendapatkan tandatangan pelumba yang dilabel 'idaman' di MotoGP, Jorge Martin dan lebih menarik diperoleh daripada genggaman satu lagi pengeluar Itali, Ducati.
Seperti tidak lagi rela menunggu jawapan daripada Ducati, Martin memilih untuk menyertai Aprilia bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan Aleix Espargaro bagi musim 2025.
Menurut laporan, pelumba kelahiran Sepanyol itu menandatangani kontrak selama beberapa tahun bersama Aprilia yang ketika ini memiliki salah satu jentera paling kompetitif di MotoGP, RS-GP.
Menariknya, pengesahan itu berjalan dengan cukup pantas dalam tempoh kurang 24 jam dan lebih mengujakan, Aprilia bukanlah pembida tertinggi, menurut bos Aprilia Racing, Massimo Rivola.
"Kami melakukan segala-galanya dalam satu malam," kata Rivola memetik laporan GPOne. "Kami menyedari peluang ini timbul pada malam semalam dan saya menghubungi (Michele) Colaninno (bos Piaggio).
"Dia memberitahu saya untuk teruskan dan kami membawa pulang salah seorang bakat terbaik di atas grid. Jorge salah seorang daripada sasaran, hampir tidak dijangka, malah kami tidak berfikir yang dia akan datang kepada kami, tetapi pada akhirnya ia berlaku dengan cara terbaik."
Mengulas lanjut, Rivola turut menjelaskan Martin memilih Aprilia bukan berpandukan kepada wang.
"Saya fikir perlumbaan semalam (GP Itali 2024) amat emosi untuknya selepas dia kemalangan pada hari sebelumnya. Berdasarkan keputusan, saya fikir dia menyedari yang masa depannya mungkin tidak lagi di sana.
"Dan dia mahu mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
"Di Barcelona kami mula menyuarakan mengenai kemungkinan ini. Mungkin pergerakan saya mencetus reaksi kepada orang lain untuk membuat keputusan dengan lebih cepat.
"Saya meletakkan diri saya yang Mugello adalah tarikh akhir untuk masa depan Aleix. Sejujur-jujurnya, saya tidak berfikir ada peluang untuk mendapatkan Jorge, tetapi untuk melihatnya begitu bermotivasi memang menyenangkan.
"Ini adalah kontrak terpantas dalam sejarah. Daripada pelbagai tawaran yang dia (Martin) dapat dia memilih kami yang bukannya paling tinggi, dan disebabkan dia memilih kami, ia adalah satu kebanggaan terhadap nilai jentera dan pasukan."