JORGE Martin Tawan Perlumbaan Sprint GP British

Pelumba Aprilia, Jorge Martin yang bermula dari petak utama dan menggunakan pakej aerodinamik baharu jentera Aprilia RS-GP26 tampak berada dalam kelas tersendiri apabila mendahului perlumbaan 10 pusingan itu dari awal hingga akhir

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/8/20261 min read

PENDAHULU kejuaraan dunia MotoGP 2026, Jorge Martin mempamerkan tunggangan sempurna untuk menjuarai Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) British di Litar Silverstone sekali gus mengetuai penguasaan Aprilia di pentas podium.

Bermula dari petak utama, Martin yang menggunakan pakej aerodinamik baharu jentera Aprilia RS-GP26 tampak berada dalam kelas tersendiri apabila mendahului perlumbaan 10 pusingan itu dari awal hingga akhir.

Pelumba Trackhouse Aprilia, Ai Ogura yang cuba memberi tekanan pada awal saingan terpaksa akur menamatkan aksi di tempat kedua, manakala rakan sepasukan Martin, Marco Bezzecchi yang terpaksa menahan kesakitan akibat kecederaan untuk melengkapkan kedudukan tiga teratas buat Aprilia.

Dalam pada itu, pelumba pasukan Gresini Ducati, Alex Marquez muncul sebagai pelumba Ducati yang menyaksikannya emnamatkan perlumbaan di tempat ke-4.

Tetapi apa yang lebih mengecewakan buat Ducati, Alex Marquez yang menunggang jentera GP26 menamatkan perlumbaan dengan jurang masa yang agak jauh, hampir tiga saat di belakang kelompok podium.

Situasi malang turut menimpa juara dunia tujuh kali, Marc Marquez apabila berdepan masalah kejatuhan cengkaman tayar belakang yang drastik pada penghujung perlumbaan, menyebabkan dia hampir pulang dengan tangan kosong.

Kedudukan Marc mula goyah apabila dipintas menerusi gerakan berani Bezzecchi di selekoh Maggotts pada pusingan keenam, sebelum dia terus dipintas berturut-turut oleh Pedro Acosta (KTM), Joan Mir (Honda) dan Franco Morbidelli (VR46) pada pusingan terakhir untuk sekadar memungut satu mata dengan perbezaan hanya 0.027 saat.

Kemenangan ketiga perlumbaan Sprint pada musim ini membolehkan Martin mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu kejuaraan dengan kelebihan 17 mata di hadapan Ogura, manakala Bezzecchi ketinggalan 27 mata di tempat ketiga.