JORGE Martin Terlepas Aksi GP Thailand
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/25/20251 min read


PENYANDANG juara dunia MotoGP, Jorge Martin berdepan tamparan apabila terlepas pusingan pembuka tirai MotoGP musim ini di Grand Prix (GP) Thailand yang dijadual berlangsung pada hujung minggu ini di Litar Buriram.
Perkembangan buruk itu diperoleh selepas pelumba pasukan Aprilia Racing itu menghadapi kecederaan baharu ketika menjalani latihan pada Isnin.
Aprilia sebelum ini berdepan kemalangan ngeri ketika ujian pra-musim di Malaysia, awal bulan ini yang menyaksikannya terlepas keseluruhan baki ujian menjelang aksi di Thailand.
Dan susulan kecederaan baharu yang dihadapinya di bahagian tangan kiri yang memerlukan pembedahan, peluang untuk pelumba kelahiran Sepanyol itu berada di Buriram tertutup.
"Jorge Martin mengalami patah tulang yang kompleks pada radius, beberapa tulang karpal di bahagian kiri dan patah tulang calcaneal ipsilateral semasa sesi latihan," kata Aprilia dalam satu kenyataan.
"Selepas mendapatkan nasihat dari sudut perubatan, keputusan yang dibuat adalah untuk menjalankan prosedur pembedahan yang akan berlangsung esok di Klinik Dexeus di Barcelona untuk menstabilkan kecederaan patah tulang radius dan scaphoid kiri.
"Martin akan terlepas Grand Prix Thailand dan masa pemulihan akan ditentukan selepas pembedahan. Lorenzo Savadori akan menggantikan Martin di Thailand."
Selepas menjulang gelaran dunia bersama Pramac Ducati, Martin menyertai Aprilia sejurus kempen MotoGP 2024 berakhir dan hanya sempat melakukan 90 pusingan bersama jentera Aprilia RS-GP pada November di Barcelona.
Kali terakhir kelibat juara bertahan tidak memulakan kempen berikut adalah menerusi Freddie Spencer pada tahun 1984.
