JORGE Martin Teruja Nak Layan Barcelona

Penyandang juara dunia MotoGP, Jorge Martin kembali ke litar yang menobatkannya sebagai juara dunia pada tahun lalu dan lebih menarik, pelumba pasukan satelit pertama merangkul gelaran elit berkenaan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/2/20251 min read

JORGE Martin percaya Grand Prix Catalan 2025 yang dijadual berlangsung pada minggu ini boleh menjadi medan kebangkitan sempurna buatnya termasuk adaptasinya dengan jentera Aprilia RS-GP.

Penyandang juara dunia MotoGP itu kembali ke litar yang menobatkannya sebagai juara dunia pada tahun lalu dan lebih menarik, pelumba pasukan satelit pertama merangkul gelaran berkenaan.

Selain destinasi penutup tirai musim 2024, Catalunya turut menjadi destinasi pertama Martin menunggang jentera Aprilia RS-GP namun perjalanan selepas itu jelas tidak mudah buatnya.

Selepas dipalit pelbagai siri kecederaan termasuk kontroversi ingin meninggalkan Aprilia, Martin kembali ke aksi kompetitif pada GP Czech namun kempen di GP Hungary memberi kegembiraan buatnya.

Bakal beraksi di litar yang kebiasaan kuat kepada Aprilia, pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui GP Catalan sebagai penting terhadap perkembangannya.

"Saya tidak sabar untuk berada di Barcelona," kata Martin memetik laporan Crash.net. "Saya mempunyai begitu banyak memori yang hebat pada tahun lalu.

"Ini adalah litar yang saya benar-benar gemari, di mana saya sentiasa melakukannya dengan baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Saya mula merasa lebih selesa dengan jentera saya, dan saya fikir yang ia akan menjadi perlumbaan yang penting untuk terus membina keyakinan, meraih keserasian dengan jentera, untuk meneruskan haluan kami mengikuti pendekatan yang sama seperti kami peroleh di Balaton."