JORGE Martin Tinggalkan Ducati Jika...

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/4/20241 min read

JORGE Martin bersaing sengit merebut kejuaraan dunia MotoGP 2023 sebelum kecundang dan sasaran pelumba pasukan satelit Pramac Ducati itu pada musim ini adalah merampas gelaran itu daripada Francesco Bagnaia.

Mengakui sasaran awalnya musim lalu hanya di posisi ketiga atau keempat, meraih tempat kedua jelas melepasi jangkaan namun ia masih tak berjaya meletakkannya di pasukan utama Ducati Lenovo.

Dan pada musim 2024, pelumba kelahiran Sepanyol itu menyatakan sasarannya lebih tinggi iaitu menjulang kejuaraan elit berkenaan.

Tetapi jika ia tidak berjaya dengan keputusan masih tidak memberinya tempat di pasukan 'Factory' Ducati, Martin berkata dia tidak teragak-agak meninggalkan pengeluar Itali itu.

"Sasaran utama saya adalah pergi ke Ducati," kata Martin memetik laporan Europa Press. "Tetapi jika ia tidak berlaku, saya perlu melihat kepada pilihan lain.

"Masih ada banyak pengeluar-pengeluar yang melakukan keputusan yang baik. Kita akan lihat pilihan mana yang terbaik," katanya.

Enggan mengulas lanjut mengenai kegagalannya menewaskan Bagnaia pada musim lalu, Martin begitupun nampak belum berpuas hati dengan apa yang berlaku kepadanya terutama membabitkan tayar.

"Sepanjang tahun, aduan yang diterima di grid adalah tayar yang rosak, jadi kami perlu memperbaiki aspek berkenaan, kerana jutaan wang digunakan dalam projek setiap jenama.

"Tidak kira berapa banyak yang kamu belanjakan, jika kamu tiada tayar yang boleh berfungsi, projek itu tidak akan berjalan. Mereka (Michelin) perlu menambahbaik kawalan kualiti," kata Martin.