JORGE Martin Yakin Aprilia Tak 'Pilih Bulu' Buru Gelaran Dunia

Keyakinan itu disuarakan Jorge Martin yang kini cemerlang memimpin carta kedudukan pelumba pada pertengahan musim selepas meraih kemenangan pertamanya bersama Aprilia di Grand Prix (GP) Perancis

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/2/20261 min read

JUARA dunia MotoGP 2024, Jorge Martin optimis Aprilia akan memberikan sokongan penuh untuk membantunya merangkul gelaran Kejuaraan Motosikal Dunia pada musim ini meskipun dia sudah pun mengesahkan perpindahan ke Yamaha pada musim depan.

Keyakinan itu disuarakan ketika pelumba Sepanyol itu yang kini cemerlang memimpin carta kedudukan pelumba pada pertengahan musim selepas meraih kemenangan pertamanya bersama Aprilia di Grand Prix (GP) Perancis.

Begitupun, keputusan Martin menyertai kem Yamaha pada 2027 mencetuskan persoalan mengenai sejauh mana Aprilia akan bersikap adil dalam mengendalikan persaingan kejuaraan, terutamanya apabila rakan sepasukannya, Marco Bezzecchi kekal bersama pengeluar dari Itali itu untuk tahun depan.

Dan menjelang aksi GP British, persaingan merebut kejuaraan dilihat semakin sengit apabila trio jentera Aprilia yang dibarisi Martin, pelumba Trackhouse Aprilia, Ai Ogura dan Bezzecchi kini hanya dipisahkan dengan jurang 22 mata.

Dalam satu temubual bersama Motosprint, Martin menegaskan dia sama sekali tidak bimbang dan menaruh kepercayaan penuh terhadap Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola untuk menyediakan jentera terbaik demi memastikan kemenangan berpihak kepadanya.

"Setiap pelumba berbeza, Bezzecchi membuktikan dia berada di tahap tertinggi dan kita juga ada Marc Marquez. Namun, jika saya mampu mengekalkan konsistensi, saya percaya Rivola akan melakukan segala-galanya untuk membolehkan saya menang dan saya sangat tenang mengenainya," katanya.

Menariknya, situasi tegang yang dilalui pelumba bergelar 'Martinator' ini bukanlah sesuatu yang asing buat dirinya kerana dia pernah mencipta kejayaan serupa ketika merangkul gelaran juara dunia 2024 bersama Pramac Ducati walaupun pada pertengahan musim sudah menandatangani kontrak bersama Aprilia.

Ducati pada ketika itu mempamerkan sikap profesional yang tinggi dengan memastikan persaingan adil antara Martin dan Francesco Bagnaia, sekaligus membolehkan Martin muncul juara dunia dengan kelebihan 10 mata walaupun hanya mencatat tiga kemenangan GP berbanding 11 oleh Bagnaia.