JORGE Martin Yakin Mampu Cabar Marc Marquez Jika Tunggang Jentera Ducati
Secara keseluruhan, Jorge Martin hanya dapat menyertai lapan pusingan penuh perlumbaan dan mengharungi hanya empat perlumbaan sepanjang musim, dengan kedudukan terbaik sekadar di tempat keempat
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/22/20251 min read


PELUMBA Aprilia Racing yang juga juara dunia MotoGP 2024, Jorge Martin mengharungi kempen yang boleh diibarat mimpi ngeri buat dirinya pada musim ini selepas dibelenggu siri kecederaan yang menjejaskan usaha mempertahankan gelaran.
Secara keseluruhan, pelumba Sepanyol itu hanya dapat menyertai lapan pusingan penuh perlumbaan dan mengharungi hanya empat perlumbaan sepanjang musim, dengan kedudukan terbaik sekadar di tempat keempat.
Menyertai Aprilia pada musim ini selepas kempen gemilang bersama Pramac Ducati, Martin dalam satu temuramah kepada Motorsports berpendapat peluangnya mungkin berbeza sekiranya dia terus menunggang jentera Ducati Desmosedici GP.
Detik malang bermula pada sesi ujian pramusim di Sepang, Februari lalu apabila Martin mengalami patah kaki dan tangan.
Dan belum sempat pulih sepenuhnya, pelumba berusia 27 tahun itu sekali lagi ditimpa malang apabila cedera ketika menunggang motosikal supermoto menjelang aksi pembukaan di Thailand.
Ditanya sama ada dia mampu menyaingi Marc dan Alex Marquez sekiranya kekal bersama Ducati, Martin berkata melihat kepada musim Alex Marquez dan catatan masa perlumbaan tahun ini berbanding 2024, ia mampu dilakukan.
"Kita tidak akan pernah tahu. Tetapi dengan melihat kepada musim Alex Marquez dan melihat kepada catatan masa perlumbaan pada musim ini berbanding pada 2024, saya fikir saya boleh memberikan saingan," kata Martin.
"Jelas saya akan memberikan 100 peratus, dan saya fikir 100 peratus cukup untuk bersaing. Saya tidak berkata untuk mengalahkan Marc, kerana adalah mustahil untuk mengetahuinya sekarang, mungkin kita akan mengetahuinya kemudian. Kerana apa yang Marc lakukan pada tahun ini cukup menakjubkan.
"Tetapi dengan diri saya yang kuat, mengekalkan jentera yang sama untuk setahun lago dan dengan lebih pengalaman, saya sudah pasti akan bersaing. Tetapi ia adalah sesuatu yang kita tidak akan tahu."
Meskipun sukar, Martin tetap optimis dengan masa depannya bersama Aprilia kerana baginya, pengalaman pahit ini akan menjadi pengajaran berharga untuk dia kembali bangkit dalam saingan akan datang.

