JPJ Sebar Notis 'Panggilan Semula' Honda CB250R, Yamaha YZF-R25, MT-25, Lebih 2,400 unit Terkesan!

TULAR

8/2/20231 min read

SEJUMLAH 2,437 unit motosikal bersesaran 250 cc daripada jenama Yamaha dan Honda mendapat notis 'Panggilan Semula' oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), baru-baru ini.

Untuk 'Panggilan semula' motosikal jenama Yamaha, ia membabitkan dua model popularnya iaitu Yamaha MT-25 dan Yamaha R25.

Penggilan semula yang membabitkan Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) itu merangkumi 2,405 unit motosikal berkenaan (MT25 - 1,240 unit, R25 - 1,165 unit) yang dikeluarkan antara September 2022 dan Mac 2023.

Dan 'kerosakan' yang dialami adalah membabitkan hos brek.

Untuk Honda pula, ia hanya membabitkan model Honda CB250R keluaran Boon Siew Honda (BSH) dengan hanya 32 unit terbabit.

Panggilan semula membabitkan Honda CB250R pula adalah yang dihasilkan antara 22 Julai 2022 hingga 3 Ogos 2022 dengan nombor casis dari MLHMC5293P5100007 hingga MLHMC5295P5100008.

Untuk model Honda CB250R, notis panggilan semula ini dibuat bagi menggantikan penutup ‘crankcase’ sebelah kanan disebabkan kerosakan ‘cone plug’ yang boleh menyebabkan kebocoran minyak.

Dan pemilik yang terkesan diminta menghubungi pusat servis rasmi kedua-dua syarikat untuk tujuan penggantian.

Sebelum JPJ mengeluarkan notis panggilan di laman Facebook rasminya, kedua-dua pihak HLYM dan BSH sudah pun mengeluarkan notis 'panggilan semula' tersendiri kepada pelanggan masing-masing namun berdepan kesukaran untuk menghubungi pemilik atas beberapa faktor antaranya maklumat tak dikemas kini.

Justeru, JPJ juga menggesa pemilik untuk menjadi lebih bertanggungjawab dengan mengemas kini maklumat maklumat peribadi sekalipun motosikal sudah bertukar hak milik.