JPJ Umum 'Panggilan Semula', Honda, Suzuki Jenama Motosikal Terbabit!

TERKINI

9/12/20241 min read

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menyenaraikan dua jenama motosikal - Honda dan Suzuki - dalam kempen 'Panggilan Semula' atau 'Recall' susulan isu yang timbul membabitkan keselamatan.

Untuk Suzuki Malaysia, dua model yang dikenakan panggilan itu adalah Suzuki V-Strom 800DE tahun pengeluaran 2023 selain model Suzuki Burgman Street EX dengan tahun pengeluaran 2024.

Manakala bagi model Honda menerusi Boon Siew Honda, model yang terbabit dengan kempen berkenaan adalah Honda CBR250RR tahun keluaran 2022.

Berdasarkan makluman JPJ, sejumlah 220 unit Suzuki V-Strom 800DE terbabit manakala untuk model skuter Suzuki Burgman Street EX, sejumlah 125 unit difahamkan mengalami masalah.

Dan untuk model 'Sportbike' Honda CBR250RR, sejumlah 205 unit terbabit.

Menurut JPJ, kempen berkenaan adalah penting dan pemilik perlu peka kerana ia membabitkan keselamatan terutama bagi mengelakkan kemalangan berlaku disebabkan oleh kecacatan pada struktur atau komponen yang ada pada kenderaan berkenaan.

JPJ turut memaklumkan yang pengeluar kenderaan terbabit akan menghubungi pemilik kenderaan untuk membuat penetapan tarikh temujanji bagi menjalani pemeriksaan dan proses penukaran komponen yang bermasalah.