JrGP 2024: Danial Syahmi Akui Buat Kesilapan, Hakim Danish Mulai Yakin Selepas Aksi Di Misano

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/22/20242 min read

PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli mengakui keyakinannya kian meningkat selepas mengharungi aksi sulungnya di Kejuaraan Dunia FIM JuniroGP (JrGP) 2024 di Misano, Itali semalam.

Mengakui akan menjadikan aksi pembuka tirai JrGP musim ini itu untuk menilai kemampuannya, pelumba kelahiran Terengganu itu menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-9 (dikenakan penalti 1 kedudukan) dan ke-15 pada Perlumbaan 2.

Apa yang lebih menarik, pelumba pasukan SIC Racing - Msi itu terpaksa bekerja keras pada Perlumbaan 2 selepas mengalami kemalangan sebelum berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok mata.

"Saya mendapati perlumbaan (Perlumbaan 1) persaingan dalam kategori ini agak sukar," kata Hakim Danish. "Ada ramai pelumba pelumba yang laju.

"Tetapi, saya cuba mengekalkan kelajuan saya kerana ketika perlumbaan, ada begitu banyak persaingan. Jadi saya perlu banyak belajar lagi untuk meningkat.

"Pada Perlumbaan 2 pula, saya berada di kelompok hadapan dan cuba bersaing dengan pelumba pelumba lain. Saya hanya cuba mengekalkan posisi saya sebelum memberi tekana pada 3 lap terakhir.

"Tetapi pada 2 lap terakhir, ada pelumba langgar saya dari belakang. Tetapi saya menyertai semula perlumbaan dan tamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15 untuk dapatkan 1 mata.

"Saya tidak sabar untuk beraksi di Pusingan 2 di Portugal. Saya yakin saya boleh bersaing di kelompok hadapan," kata Hakim Danish.

Sementara itu, Danial Syahmi yang beraksi bersama pasukan bakat Honda, Junior Talent Team mengakui melakukan kesilapan yang menyaksikannya kemalangan pada Perlumbaan 1.

"Saya terlalu ingin berlumba dengan 'selamat' yang menyebabkan pelumba lain memotong saya. Itu kesilapan saya sejak awal," kata Danial Syahmi yang beraksi pada musim ketiganya di JrGP.

"Saya cuba untuk kekal dalam kedudukan saya dan memberikan saingan, tetapi jentera saya 'memotong kuasa' terlalu awal di laluan lurus jadi agak susah untuk menghampiri kelompok depan.

"Di pusingan ke-8, saya ada buat kesilapan ketika melakukan brek, saya tekan brek belakang di tempat yang tidak rata menyebabkan sukar untuk saya berhentikan jentera dan terlajak.

"Saya memberi tekanan untuk mengejar kelompok depan tetapi saya mengalami 'high-side' di selekoh ketiga. Kerana kemalangan itu, saya mengalami luka di tangan kiri dan bahagian punggung."

Danial dalam pada itu mengakui kecederaan yang dialaminya memberinya kesukaran pada Perlumbaan 2.

"Pada awal perlumbaan, saya kurang 'menyerang' dan hilang posisi sedikit. Saya cuba untuk kejar kelompok hadapan tapi saya mengalami 'low-side' yang menyebabkan jurang dengan kelompok hadapan.

"Di penghujung perlumbaan, saya tidak ada tenaga untuk bersaing kerana kemalangan pada Perlumbaan 1 dan tamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10 dengan jurang 5 saat dengan pemenang.

"Saya akan cuba belajar lagi untuk menjadi lebih baik pada perlumbaan akan datang."

Perlumbaan Pusingan 2 JrGP 2024 dijadual berlangsung di Estoril, Portugal pada 2 hingga 5 Mei depan.