JrGP 2024: Danial Syahmi Buru Podium, Hakim Danish Mahu Nilai Kemampuan Di Misano

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/18/20241 min read

PENDEKATAN berbeza diambil dua pelumba negara yang beraksi di Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2024 - Danial Syahmi Shahrin dan Hakim Danish Ramli - pada aksi pembukaan kejuaraan berkenaan yang membuka tirainya di Misano, Itali, minggu ini.

Beraksi pada musim ketiganya di JrGP, Danial Syahmi meletakkan sasaran untuk berdiri di podium manakala Hakim Danish yang membuat penampilan sulung mahu menilai dulu tahap persaingan pada aksi pertama sebelum meletakkan sasaran realistik.

Berlumba bersama pasukan Junior Talent Team, Danial Syahmi berkata dia sudah melakukan persiapan sebaik mungkin untuk mencapai sasarannya itu.

"Ini adalah penampilan ketiga saya di JrGP jadi sasaran saya adalah untuk meraih kedudukan podium," kata Danial yang menyambut Hari Raya Aidilfitri di Eropah tahun ini.

"Saya akan melakukan sehabis baik untuk bersaing di kelompok depan dan dapatkan podium pertama saya.

"Dari sudut persediaan, kami mengharungi ujian yang dianggap baik di Barcelona dua minggu lalu. Apa boleh saya katakan adalah saya sudah mendapat 'rentak' dan kelajuan saya sendiri."

Untuk Hakim Danish, Pusingan 1 JrGP 2024 di Misano diletakkan sebagai medan ujian untuknya melihat di mana tahapnya di perlumbaan berkenaan.

"Daripada situ saya akan nilai kedudukan saya untuk meletakkan dimana sasaran saya pada musim ini," kata Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan SIC Racing-MSi.

Mengulas persiapannya, pelumba kelahiran Terengganu itu berkata persediaan selama lebih sebulan memang cukup membantu.

"Kami dah buat persediaan yang baik disini dan juga sebelum saya terbang ke Sepanyol, kami juga melakukan latihan dengan kerap di Malaysia bersama pelumba-pelumba lain," katanya.