JrGP 2024: Danial Syahmi, Hakim Danish Isi Kelompok 10 Terbaik Di Misano
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/21/20241 min read
TIADA kedudukan podium pada aksi pembuka tirai Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2024 yang turut menampilkan dua pelumba negara, Hakim Danish Ramli dan Danial Syahmi Shahril di Misano, Itali, hari ini.
Begitupun, kedua-duanya berjaya meletakkan diri dalam kelompok 10 terbaik dalam saingan yang berlangsung dalam format dua perlumbaan sehari itu.
Pada Perlumbaan 1, Hakim Danish menamatkan aksi di kedudukan ke-9 (selepas dikenakan penalti) tetapi malang bagi Danial Syahmi yang mengalami kemalangan dan tak berjaya meneruskan perlumbaan.
Danial Syahmi yang beraksi bersama pasukan pembangunan bakat Honda, Junior Talent Team bangkit pada Perlumbaan 2 untuk mengisi tempat ke-10.
Tetapi malang bagi pelumba yang berlumba menggunakan lencana SIC Racing-MSi, Hakim Danish apabila berdepan kemalangan pada Perlumbaan 2.
Tidak mahu menyerah kalah, pelumba yang menggunakan jentera KTM itu meneruskan perlumbaan dan berjaya mengutip satu mata selepas melepasi garisan penamat di kedudukan ke-15.
Susulan kemalangan itu, Hakim Danish turut mengalami kecederaan di bahagian jarinya.
Pelumba Sepanyol, Jesus Rios dari pasukan MRE Talent memenangi kedua-dua Perlumbaan 1 dan 2 di Misano.
Keputusan di Misano meletakkan Hakim Danish di tangga ke-12 carta keseluruhan kedudukan pelumba selepas mengumpul 8 mata manakala Danial Syahmi ke-15 selepas meraih 6 mata.
Pusingan 2 JrGP 2024 dijadual di Estoril, Portugal pada 3 hingga 5 Mei depan.