JrGP 2024: Danial Syahmi, Hakim Danish Terus Kutip Mata Di Estoril

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/5/20241 min read

MASIH tiada podium tetapi kedua-dua pelumba negara beraksi di Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP 2024 - Danial Syahmi Shahril dan Hakim Danish Ramli berjaya menamatkan perlumbaan Pusingan 2 di Estoril, Portugal hari ini dalam kelompok mata.

Danial Syahmi paling cemerlang apabila pelumba pasukan Junior Talent Team itu menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima.

Begitupun, pelbagai kesukaran yang ditempuh seorang lagi pelumba berbakat negara, Hakim Danish menyaksikannya terpaksa melepasi garisan penamat di kedudukan ke-15.

Untuk Danial Syahmi, bermula di petak kelima jelas membantunya mendapatkan momentum bersaing di kelompok depan malah hampir memperoleh tempat ke-4 sebelum dipintas di saat akhir.

Dan ia adalah keputusan terbaik pelumba kelahiran Pulau Pinang itu di kejuaraan berkenaan setakat ini.

Bagi Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan SIC Racing - MSi, kesukaran buatnya bermula di awal perlumbaan apabila terpaksa memulakan perlumbaan di petak terakhir susulan penalti yang diterimanya.

Tidak meletakkan perkara berkenaan sebagai kekurangan, pelumba kelahiran Terengganu itu bangkit untuk pada satu ketika menghuni tangga ke-8 sebelum melakukan kesilapan apabila terbabas.

Sekali lagi terpaksa beraksi di kelompok belakang, pelumba berusia 17 tahun itu terus berusaha untuk melepasi garisan penamat di kedudukan ke-15 yang turut menyaksikannya menamatkan perlumbaan dalam kelopok mata.

Kemenangan menjadi milik pelumba Finland, Rico Salmela (Liqui Moly Husqvarna Intact GP Junior) diikuti Marcos Uriate (CFMOTO Aspar junior Team) kedua dan pelumba New Zealand, Cormac Buchanan (AGR Team) ketiga.

Keputusan di Estoril menyaksikan Danial Syahmi kini menduduki tangga ke-9 dalam carta kedudukan pelumba JrGP 2024 dengan mengumpul 17 mata manakala Hakim Danish ke-16 dengan 9 mata.