JrGP 2024: Hakim Danish, Danial Syahmi Bermotivasi Tinggi Hadapi Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/12/20241 min read

SEGAR dengan prestasi positif yang ditampilkan ketika pusingan terakhir Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 di Misano, Itali minggu lalu, pelumba negara, Hakim Danish Ramli berharap momentum itu dapat dibawa ke Jerez, Sepanyol.

Berlumba bersama pasukan SIC Racing - Msi dan menggunakan jentera KTM, pelumba kelahiran Terengganu itu ketika ini menghuni tempat ke-12 carta kedudukan selepas mengutip 35 mata.

Dan sedar dengan persaingan sengit di JrGP, pelumba berusia 17 tahun itu meletakkan sasaran untuk memberikan saingan di kelompok hadapan dan membawa pulang keputusan yang baik.

"Persediaan saya dalam Pusingan 5 JrGP sangat baik kerana saya membawa motivasi pusingan akhir RBMRC saya bawa ke minggu ini," kata Hakim Danish. "Saya optimis untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang pada minggu ini.

Sementara itu, 'rehat' panjang JrGP iaitu hampir 3 bulan dijadikan pelumba negara, Danial Syahmi Shahril medan untuk melakukan persiapan terbaik untuk kekal bersaing.

Sekalipun tidak berlumba secara kompetitif seperti Hakim Danish, Danial Syahmi giat membuat latihan yang disediakan pasukannya Junior Talent Team seperti 'Flat Track Riding', berbasikal, latihan litar bersama jentera Ohvale dan Ggimnasium.

Dan sasarannya pada minggu ini adalah kedudukan podium.

"Saya sampai di soini lebih awal untuk persiapan JrGP dan dapat ulang kaji kembali data-data perlumbaan pada tahun lepas," kata pelumba kelahiran Pulau Pinang itu.

"Sasaran saya adalah berada di kelompok lima terbaik Perlumbaan juga sudah memasuki separuh musim dan saya pastinya akan lakukan sesuatu untuk membuktikan kemampuan saya," katanya.