JrGP 2024: Minggu Mengecewakan Buat Hakim Danish, Danial Syahmi Di Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/16/20241 min read

PELUMBA muda berbakat negara, Hakim Danish Ramli berdepan detik cemas ketika Perlumbaan 2 Kejuaraan Dunia JuniorGP (JrGP) 2024 di Jerez, Sepanyol selepas terbabit kemalangan ngeri di awal perlumbaan.

Selepas menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-8, pelumba kelahiran Terengganu itu yang memulakan aksi di petak ke-9 cuba untuk mendapatkan keputusan lebih baik namun tersisih daripada perlumbaan di awal saingan.

"Perlumbaan satu boleh dianggap perlumbaan yang baik untuk saya," kata pelumba berusia 17 tahun itu. "Pada Perlumbaan 1, saya cuba ikuti dengan rapat kumpulan depan tetapi kelajuan mereka agak lejua dan saya hanya cuba kekalkan kedudukan di kelompok kedua.

"Pada Perlumbaan 2, saya mengalami masalah teknikal dibahagian brek dan membuatkan kemalangan di selekoh lima.

"Untuk minggu ini saya sudah melakukan banyak peningkatan dari setiap sesi dan saya akan pastikan pusingan seterusnya di Aragon akan lebih baik dari minggu ini," kata Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan SIC Racing-Msi menggunakan jentera lelaki.

Bagi Danial Syahmi Shahril yang beraksi bersama pasukan Junior Talent Team, dia akur yang perlumbaan kali ini tidak berlangsung seperti yang diharapkannya.

"Saya bergelut sejak hari pertama ke hari perlumbaan," kata Danial Syahmi. "Saya hanya berpeluang untuk melakukan pelarasan kepada jentera saya pada hari perlumbaan dan sudah melakukan yang terbaik.

"Pada Perlumbaan 1, saya melakukan kesilapan iaitu terlalu bermain dengan selamat dan banyak pelumba lain dapat memintas saya. Pada Perlumbaan 2, saya cuba menyerang dari awal perlumbaan dan saya dapat memperbaiki kedudukan dan beri 110 peratus fokus.

"Saya cuba untuk mendapatkan mata untuk perlumbaan ini tetapi persaingan didalam kumpulan saya agak sengit. Pada pusingan terakhir, saya dipintas tiga pelumba lain dan gagal mengumpul sebarang mata.”