JrGP 2024: Misi Catalunya, Danial Buru Podium Pertama, Hakim Danish Mahu Elak Kesilapan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/16/20241 min read

MOMENTUM baik di Estoril, Portugal pada Pusingan 2 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (2024), dua minggu lalu mahu dibawa pelumba negara, Danial Syahmi Shahril ke aksi Pusingan 3 di Catalunya, Sepanyol, minggu ini.

Pada aksi di Portugal, Danial Syahmi yang berlumba bersama pasukan Junior Talent Team berjaya menamatkan Perlumbaan 2 di tangga ke-5 yang juga keputusan terbaiknya di kejuaraan berkenaan.

Dan prestasi lebih baik, termasuk mengisi kedudukan podium menjadi buruannya di Catalunya.

"Sasaran saya untuk pusingan ini adalah sudah semestinya mendapatkan podium pertama saya di JuniorGP," kata pelumba kelahiran Pulau Pinang itu.

"Selepas saya tamatkan perlumbaan di tempat kelima pada pusingan di Estoril, Portugal saya lebih bermotivasi dengan diri saya dan lebih fokus untuk mengejar apa yang saya nak di pusingan ini.

"Saya inginkan podium dan habiskan perlumbaan lebih baik dari sebelum ini," kata Danial.

Untuk Hakim Danish, aksi JrGP di Catalunya adalah minggu ke-5 berturut-turutnya buatnya berlumba.

Turut meraih momentum baik hasil kejayaan podium di Red Bull MotoGP Rookies Cup minggu lalu, tetapi bagi pelumba berusia 17 tahun itu, misinya lebih kepada ingin mengelak kesilapan.

Pada aksi di Estoril sebelum ini, Hakim Danish dikenakan penalti yang memaksanya bermula di petak ke-30.

"Sasaran saya untuk minggu ini adalah untuk bersaing di kumpulan hadapan dan saya tidak mahu melakukan kesalahan yang sama di pusingan lepas di Estoril," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

"Saya akan cuba fokus untuk bagi yang terbaik di perlumbaan di Catalunya ini. Harap warga Malaysia dapat sokong saya dan doakan kejayaan saya disini.”

Sekalipun terpaksa memulakan perlumbaan di kelompok belakang, Hakim Danish berjaya mencipta kebangkitan pada perlumbaan yang menyaksikannya berjaya menamatkan kedua-dua perlumbaan dalam kelompok mata.