JrGP 2024: Podium Di Portimao Tetap Jadi Buruan Hakim Danish, Danial Syahmi

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/20/20241 min read

PENAMAT di pentas podium kekal menjadi sasaran utama dua pelumba negara, Hakim Danish Ramli dan Danial Syahmi Shahril pada aksi Pusingan 4 Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2024 di Portugal, hujung minggu ini.

Beraksi bersama pasukan SIC Racing-MSi, Hakim Danish sebelum aksi di Portimao boleh dikatakan memperoleh lonjakan semangat apabila berpeluang pulang ke tanah air selama beberapa hari.

Dan untuk Danial Syahmi yang beraksi bersama pasukan Junior Talent Team, kekal berada di Sepanyol turut memberinya peluang untuk melakukan persediaan yang disifatkan terbaik.

Turut dinamakan sebagai RCB Atlete ketika berada di Malaysia, Hakim Danish yang menunggang jentera KTM berkata dia melakukan persediaan yang cukup ketika berada di Malaysia.

“Persediaan saya untuk hujung minggu ini semua dilakukan di Malaysia di mana saya buat latihan motosikal, gym dan berlari," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

"Saya dah bersedia untuk Pusingan yang ke-4 ini di Portimao. Harapan saya, saya ingin bersaing di kelompok hadapan dan cuba untuk mendapatkan podium saya yang pertama.

Saya perlu kekalkan fokus saya dan saya akan buat yang sehabis baik saya. Saya harap semua dapat sokong saya minggu ini," katanya.

Bagi Danial Syahmi, kekal di Eropah khususnya di Sepanyol turut memberinya peluang untuk melakukan persiapan yang dianggap terbaik setakat ini.

"Persediaan saya lebih baik dari sebelum ini, saya lebihkan latihan di Tarragona, Sepanyol," kata pelumba kelahiran Pulau Pinang itu.

"Saya rasa fizikal saya pun lebih baik daripada sebelum ini. Pada perlumbaan di Portimao ini, saya impikan untuk dapatkan podium pertama saya di JuniorGP.

"Sasaran saya ialah untuk kekal bersaing di kelompok hadapan dan beri saingan yang hebat di kelompok hadapan. Saya minta semua rakyat Malaysia doakan kejayaan saya disini.”

Selepas tiga pusingan, Hakim Danish ketika ini menghuni kedudukan ke-12 selepas mengumpul 23 mata manakala Danial Syahmi di tangga ke-13 dengan 20 mata. Pelumba Sepanyol, Marcos Uriarte mengungguli carta dengan 82 mata.

Sebagai info, Pusingan 4 JrGP 2024 di Portimao, Portugal menawarkan dua perlumbaan yang kedua-duanya berlangsung pada Ahad.