JrGP: Penamat Mengecewakan Danial Syahmi, Farish Hafiy Di Estoril

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/27/20241 min read

PUSINGAN penutup tirai Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP) 2024 di Estoril, Portugal berakhir hampa buat dua pelumba negara, Danial Syahmi Shahril dan Farish Hafiy Farid Sezli.

Beraksi dalam dua perlumbaan, kedua-dua pelumba negara itu bukan saja tidak berjaya menamatkan saingan dalam posisi podium, malah tidak berjaya menempatkan diri dalam kelompok pungutan mata.

Danial yang beraksi bersama pasukan Junior Talent Team Honda dan memulakan saingan di petak ke-21 menamatkan Perlumbaan 1 di kedudukan ke-16 sebelum menamatkan Perlumbaan 2 di tangga ke-18.

Farish yang membuat penampilan sulung di JrGP dan tiba di Estoril sebagai pelumba gantian kepada Hakim Danish Ramli menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ke-24.

Berlumba bersama pasukan SIC Racing - MSi, Farish yang memulakan perlumbaan di petak ke-23 sekali lagi mengisi kedudukan ke-24 pada Perlumbaan 2.

Gagal untuk mengutip sebarang mata dalam kedua-dua perlumbaan menyaksikan Danial menamatkan kempen pada musim ini di kedudukan ke-18 keseluruhan selepas mengumpul 26 mata daripada tujuh pusingan yang berlangsung.

Hakim Danish yang menjalani proses pemulihan di Malaysia selepas mengalami kemalangan menamatkan kempen di tangga ke-15 selepas mengumpul keseluruhan 46 mata.

Dalam pada itu, Perlumbaan 1 dimenangi pelumba Itali, Guido Pini manakala pelumba Sepanyol, Maximo Quiles menjuarai Perlumbaan 2.

Gelaran keseluruhan JrGP musim ini sudah pun ditentukan lebih awal yang dimenangi pelumba Sepanyol yang juga juara Kejuaraan Red Bull Rookies MotoGP Cup musim ini, Alvaro Carpe.