JS Racing Juarai SBK Elite, Silver Steed Menang SBK Novice Edisi ESEB 2025

Perlumbaan ESEB 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (Trek Selatan) itu menjadi lebih menarik susukan keadaan litar basah akibat hujan lebat dengan JS Racing berjaya menampilkan penguasaan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/15/20252 min read

GANDINGAN Tobias Krebs dan Chan Qing Rong dari pasukan JS Racing mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara sulung kelas SBK Elite dalam Kejuaraan ESTREMO Superbike Endurance 2025 by Braaap (ESEB) yang berlangsung penuh dramatik, awal pagi tadi.

Berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (Trek Selatan) itu, perlumbaan menjadi lebih menarik susukan keadaan litar basah akibat hujan lebat.

Menunggang jentera Suzuki GSX1000R, gandingan itu mempamerkan tunggangan konsisten untuk melengkapkan 36 pusingan dengan catatan masa keseluruhan 46 minit 38.299 saat, sekali gus mengukir nama sebagai pemenang edisi pertama kejuaraan itu.

Tempat kedua dalam kelas SBK Elite menjadi milik pasukan Nomoney Racing with Estremo - BMW, yang menampilkan pempengaruh popular, Mohd Ahmad Hawash Khan atau lebih dikenali Ahmad Khan dan Amin Ariff Ashaari Abdul Aziz.

Mereka menamatkan perlumbaan dengan melakukan keseluruhan 35 pusingan dan catatan masa 47 minit 30.346 saat.

Melengkapkan podium bagi kategori teratas itu adalah pasukan FGRT Project One, yang dibarisi oleh Mohd Azlly Shaari dan Mohd Fahmi Abdul Wahab dengan melakukan 33 pusingan.

Bagi saingan kelas SBK Novice pula, kejuaraan menjadi milik pasukan Silver Steed Racing menerusi pelumbanya, Ao Ieong Fu-Hu Zha Oneng, yang mempamerkan aksi cemerlang dengan turut melakukan keseluruhan 36 pusingan.

Podium SBK Novice turut menyaksikan pasukan Sole ART Racing (Chia Zhen Xian / An Yong Ting) di tempat kedua, manakala pasukan BAIKBIE Cycleworks Racing yang diwakili oleh Kamarul Izad Ishak dan Muhammad Fareez Borhanudin meraih tempat ketiga.

Drama Hujan Lebat Hentikan Perlumbaan Lebih Awal

Perlumbaan yang disertai 14 pasukan ini bermula dengan penuh debaran apabila hujan renyai mula turun sejurus perlumbaan dimulakan. Begitupun, keadaan cuaca bertambah buruk apabila hujan semakin lebat dan tidak menunjukkan sebarang tanda untuk berhenti.

Dan atas faktor keselamatan yang diburukkan lagi dengan situasi 'blackout' di litar, pihak penganjur terpaksa membuat keputusan sukar untuk menamatkan perlumbaan lebih awal daripada yang dijadualkan bagi mengelakkan sebarang risiko kepada para pelumba.

Selain ESTREMO sebagai penaja utama, ESEB 2025 turut menggunakan tayar Pirelli sebagai pembekal tayar tunggal dan mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Rakan Muda, Tourism Malaysia dan mendapat sanksi Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM).

Sebagai edisi sulung, ESEB 2025 memperkenalkan format permulaan unik yang diinspirasikan daripada perlumbaan endurance terkemuka dunia seperti 'Le Mans' dan Suzuka 8 Hours.

Kesemua pelumba dikehendaki berlari dari seberang litar ke arah jentera masing-masing sebelum memulakan perlumbaan, satu format yang bukan sahaja menguji kepantasan di litar tetapi juga kecergasan fizikal pelumba.

Format dua pelumba satu pasukan ini turut menyaksikan pertukaran pelumba dilakukan semasa perlumbaan, menambah elemen strategi dan kerja berpasukan yang penting dalam perlumbaan ketahanan seperti ini.

KEPUTUSAN PENUH ESEB 2025 (PODIUM)

SBK Elite

  1. JS RACING - (Tobias Krebs / Chan Qing Rong) - 36 Pusingan (46:38.299s)

  2. NOMONEY RACING WITH ESTREMO - BMW - (Mohd Ahmad Hawash Khan / Amin Ariff Ashaari Abdul Aziz) - 35 Pusingan (47:30.346s)

  3. FGRT PROJECT ONE - (Mohd Azlly Shaari / Mohd Fahmi Abdul Wahab) - 33 Pusingan (46:48.611s)

SBK Novice

  1. SILVER STEED RACING - (Ao Ieong Fu-Hu Zha Oneng)

  2. SOLE ART RACING - (Chia Zhen Xian / An Yong Ting)

  3. BAIKBIE CYCLEWORKS RACING - (Kamarul Izad Ishak / Muhammad Fareez Borhanudin)