JUALAN Motosikal Global Positif Q1 2025, 15 Juta Unit Direkodkan!
TERKINI
6/6/20251 min read


JUALAN motosikal global menunjukkan peningkatan apabila sejumlah 15 juta unit direkodkan sepanjang suku pertama (Q1) pada tahun 2025.
Rekod berkenaan adalah peningkatan lebih 3 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu dengan jualan di rantau Asia Tenggara mengalami peningkatan sebanyak 4.2 peratus.
Berdasarkan laporan daripada motorcyclesdata.com, tujuh daripada lapan negara di Asia Tenggara menampilkan angka yang positif sekali pun tidak menyebut sebarang negara.
Sebagai info, motorcyclesdata.com mengumpul data pendaftaran motosikal baharu di lebih 92 pasaran berbeza, mewakili 99.4 peratus daripada industri motosikal global.
Dan selain motosikal (2 roda) data yang diperoleh termasuk kategori seperti ATV/RUV, Tuk-tuk dan kenderaan tiga roda.
Pada tahun lalu, jualan keseluruhan motosikal mencatat rekod baharu dengan 62.1 juta jualan, peningkatan 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Antara pasaran yang menampilkan momentum kuat adalah di India yang menjadi pasaran terbesar. Selepas mencatatkan peningkatan luar biasa sebanyak 14.1 peratus dilaporkan tahun lalu, jualan pada suku pertama masih positif, sekalipun peningkatannya hanya sebanyak 1 peratus.
Tetapi di sebalik peningkatan jualan di Asean dan India, jualan keseluruhan Asia menurun dengan penurunan sebanyak 2.4 peratus direkodkan di China, 6.2 peratus di Taiwan, 4.6 peratus di Japun dan Korea Selatan (-1.7 peratus).
Pasaran benua yang paling pesat berkembang kekal Amerika Latin dengan peningkatan jualan suku tahunan sebanyak 22 peratus dengan hampir semua pasaran utama berkembang dengan pantas, termasuk Brazil, peningkatan 7.3 peratus, Argentina (+37.0 peratus) dan Colombia (+34.7 peratus).
Sementara itu, pasaran Amerika Utara menunjukkan angka jualan positif dengan peningkatan 0.9 peratus hasil lonjakan jualan di Mexico (4.6 peratus). Tetapi jualan negara Uncle Sam mengalami penurunan drastik apabila jatuh 9.5 peratus manakala Kanada mengalami penurunan paling drastik, 21.8 peratus.
Turut mengalami penurunan jualan yang besar adalah di Barat Eropah dengan penurunan sebanyak 16.6 peratus dan dikatakan disebabkan pendaftaran yang tinggi pada suku terakhir 2024 menjelang pengenalan peraturan baharu mengenai tahap bunyi kenderaan.
Jualan di Timur Eropah pula mencatatkan penurunan besar 40.5 peratus yang dilihat susulan berakhirnya lonjakan pasaran di Turki.
