JUALAN Motosikal Malaysia Menyusut 4 Peratus 2023, Jualan Keseluruhan Asean Lebih 14 juta Unit!

TERKINI

2/15/20241 min read

SELEPAS mencatatkan rekod jualan tertinggi dengan sekitar 720,000 unit motosikal dijual di pasaran Malaysia pada tahun 2022, angka berkenaan mengalami kemerosotan pada tahun 2023.

Berdasarkan laporan daripada laman web membabitkan data jualan, MotorCycle Data, jualan motosikal di Malaysia mengalami penyusutan 4 peratus berbanding tahun lalu berbanding 2022.

Sekalipun mengalami penyusutan, angka jualan yang diperoleh masih boleh dikatakan positif dengan lebih 690k unit jualan. Malah ia jauh lebih baik berbanding data jualan yang diperoleh pada tahun 2021 iaitu 500,000 unit.

Dan pasaran Malaysia juga menjadi pasaran kelima terbesar di Asia Tenggara (Asean) mengikuti Indonesia, Vietnam, Filipina dan Thailand.

Secara keseluruhan, jualan motosikal di rantau ini meningkat 3.6 peratus dengan merekodkan 14.7 juta unit jualan pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya.

Indonesia kekal dengan pasaran terbesar dengan merekodkan peningkatan 20.1 peratus jualan yang menyaksikan negara itu menjadi pasaran motosikal ketiga terbesar dunia pada 2023

Di tangga kedua adalah Vietnam sekalipun mengalami kemerosotan jualan sebanyak 17.8 peratus diikuti Filipina yang turut mengalami kemerosotan jualan sebanyak 0.5 peratus.

Thailand menjadi pasaran keempat terbesar di Asean dengan peningkatan 4.4 peratus jualan diikuti Malaysia, Kemboja (+2.3 peratus), Myanmar (-1.1 peratus) dan Singapura (+2.5 peratus).

Begitupun, laporan McD itu tidak termasuk data jualan di Laos dan Brunei.