JUALAN Tiket GP Malaysia 2025 DaH Cecah 85 Peratus, Caj Parkir Diperkenalkan!
Perkembangan itu dimaklumkan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif ketika ditanya mengenai perkara berkenaan dalam majlis taklimat keselamatan GP Malaysia 2025
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/14/20251 min read


LITAR Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC) memaklumkan tiket bagi perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia 2025 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini mencatatkan sambutan memberangsangkan dengan 85 peratus tiket sudah terjual setakat ini.
Perkembangan itu dimaklumkan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif ketika ditanya mengenai perkara berkenaan dalam majlis taklimat keselamatan GP Malaysia 2025.
Seperti diketahui, SIC menyasarkan kehadiran seramai 200,000 penonton sepanjang tiga hari penganjuran acara berprestij itu berlangsung.
Tetapi sedikit mengecewakan, ketiadaan beberapa pelumba ternama seperti Marc Marquez, Jorge Martin dan Maverick Vinales sedikit menjejaskan kemeriahan edisi kali ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Shafriman turut memaklumkan bahawa caj parkir akan dikenakan kepada pengunjung pada edisi kali ini berikutan peningkatan kos operasi penganjuran.
Bayaran parkir sekali masuk ditetapkan sebanyak RM10 bagi motosikal dan RM20 bagi kereta.
Bagi mengurangkan kesesakan dan melancarkan pergerakan trafik, SIC akan menyediakan perkhidmatan bas perantara dari kawasan parkir ke pintu masuk litar.
Selain itu, Rapid Bus akan mengendalikan perkhidmatan bas dari pusat bandar seperti KLCC dan Pasar Seni, serta dari KLIA2 terus ke litar.
Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan luar biasa yang dijangka berlaku, khususnya pada hari perlumbaan.
Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, kesesakan dijangka susulan ketibaan pemimpin negara bagi Sidang Kemuncak ASEAN yang turut berlangsung pada tarikh sama.
Antara pemimpin yang dijangka tiba termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
"Justeru, beberapa lencongan jalan secara berkala akan dilaksanakan bergantung kepada jadual ketibaan delegasi di KLIA,” katanya.
Sejumlah 450 anggota polis akan ditugaskan bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan sepanjang acara GP Malaysia 2025 berlangsung.
