JUMAAT Terbaik Saya Pada 2025 - Toprak Razgatlioglu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/17/20251 min read


SELEPAS mencatatkan masa terbaik pada kedua-dua sesi latihan WorldSBK di Most, Rep. Czech, semalam, Toprak Razgatlioglu berkata ia adalah Jumaat terbaik buatnya pada tahun ini.
Pada Pusingan 4 sebelum ini, pelumba BMW Motorrad itu kalah kepada pelumba Ducati, Nicolo Bulega dalam ketiga-tiga perlumbaan yang ditawarkan.
Dan sekali pun sesi turut dibelenggu dengan keadaan cuaca tidak menentu, ia tidak menghalang penyandang juara dunia WorldSBK itu untuk terus 'mengganas'.
"Saya fikir pada tahun ini, ini adalah Jumaat terbaik saya," kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com. "Saya gembira kerana keadaan jentera tidak begitu teruk, kami mempunyai pelarasan yang bagus sekarang.
"Kami memperoleh masa sepusingan yang baik dan kami melakukan simulasi perlumbaan, hampir 20 pusingan, dan nampaknya hampir setiap pusingan berada (1.31s), ini adalah masa sepusingan yang amat bagus.
"Ia nampak seperti kami sudah bersedia untuk berlumba."
Razgatlioglu pada pusingan terdahulu, terutama di Assen, Belanda nampak cukup bergelut berbanding pencabar utamanya, Bulega. Dan baginya, ia adalah berikutan penggunaan tayar daripada Pirelli.
"Assen terlalu berbeza kerana gaya litar itu amat berbeza, juga kerana pelarasan juga berbeza, tayar juga sama," katanya.
"Di sini, hampir semua orang menggunakan tayar yang sama kerana menggunakan tayar belakang SC1, kompaund yang keras, dan ia tidak memberikan masalah.
"Masa sepusingan bagus, ia masa yang mengagumkan, tetapi perlumbaan sentiasa berbeza. Pada perlumbaan, kamu perlu 'menyimpan' tayar belakang, dan pada pusingan terakhir kami memerlukan lebih cengkaman. Ini amat sukar.
"Kami sedang berusaha dengan gaya perlumbaan yang kami rasa kami kuat, tetapi kami tidak tahu mengenai keadaan cuaca esok (hari ini) yang nampak seperti akan hujan. Apapun, kami bersedia untuk berlumba dan saya memerlukan kemenangan. Saya amat merindui tempat pertama."
