'JURANG 20 Mata Dah Tak Besar'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/25/20241 min read

PENYANDANG juara dunia MotoGP, Francesco Bagnaia tak terlalu memikirkan mengenai jurang 20 mata yang dimilikinya dengan pendahulu kejuaraan, Jorge Martin.

Malah menurut pelumba Ducati Lenovo itu, angka berkenaan tidak begitu besar dalam perlumbaan itu yang kini mempunyai tambahan Perlumbaan Sprint.

Bagnaia tiba di Australia dengan jurang 10 mata namun ia meningkat sekali ganda menuju aksi di Thailand, minggu ini.

Dan bergantung kepada keputusan di Buriram, lokasi yang berjaya dimenangi Martin musim lalu, pelumba Pramac Ducati itu boleh dinonatkan sebagai juara dunia ketika aksi di GP Malaysia, minggu depan.

Tetapi bagi Bagnaia, situasi tidak semudah itu.

"Ia berbeza," kata Bagnaia ketika ditanya mengenai jurang mata berkenaan ketika sidang media di Buriram.

"Tiga tahun lalu, dua tahun lalu apabila kamu tiba pada tiga pusingan terakhir dengan ketinggalan 20 mata ia lebih kritikal berbanding sekarang di mana kamu boleh mengambil 12 lagi mata.

"Jadi ia perbezaan yang besar. Ia seperti yang kita semua lihat, mudah untuk meraih banyak mata, dan hilang banyak mata.

"Jadi tiga tahun lalu adalah berbeza dengan sekarang dan 20 mata bukan jurang yang besar.

"Apapun, ia adalah 20 mata dan saya perlu mencarinya. Jika kamu mahu menang, kamu perlu berusaha dengan lebih kuat."

Bagnaia yang tewas dalam pertarungan merebut kejuaraan dunia pada 2021 kepada Fabio Quartararo di penghujung saingan berkata, strateginya kekal sama iaitu melakukan persiapan yang baik.

"Tekanan adalah sama tidak kira sebagai pendahulu atau pengejar. Hanya risiko yang berubah sedikit. Tetapi saya fikir saya akan melakukan perkara yang seperti saya biasa lakukan."