JURANG Dengan Pecco, Martin, Bastianini Masih Jauh - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/21/20241 min read
MARC Marquez seperti memberi amaran yang dia mampu menjadi pencabar kejuaraan MotoGP musim ini apabila merekodkan catatan ke-4 terpantas ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 di Qatar.
Selepas sedikit 'mengendur' pada hari pertama, pelumba pasukan satelit Gresini Ducati itu melakukan 1:51.335 saat (s), hanya ketinggalan 0.383s di belakang penyandang juara dunia MotoGP, Francesco Bagnaia.
Lebih menarik, juara dunia enam kali MotoGP hanya 'kalah' kepada pelumba pasukan 'Factory' Ducati dan Aprilia serta menjadi pelumba yang menggunakan jentera Ducati Desmosedici GP23.
Tetapi ketika ditanya mengenai pendapatnya ketika perlumbaan pembuka musim di Qatar bulan depan, Marquez jelas tidak meletakkan harapan setinggi gunung.
"Realistik untuk Qatar, jika perlumbaan, saya fikir kami tidak mampu untuk bersaing bagi kedudukan kelima atau keenam," kata pelumba kelahiran Sepanyol itu memetik laporan MotoGP.com.
"Minggu perlumbaan adalah berbeza. Pelumba seperti Pecco, Martin (Jorge) dan Bastianini (Enea) amat memahami jentera mereka dan hanya memberikan yang terbaik, terus memberikan tekanan dan amat pantas sejak awal.
"Saya masih amat jauh berbanding mereka tetapi saya cuba untuk belajar gaya tunggangan dan bagaimana mereka menguruskan masalah-masalah. Selangkah demi selangkah saya berharap untuk menjadi lebih hampir.
"Adakah ia akan cukup? Ketika ini saya tidak tahu tetapi kami masih agak jauh," kata Marquez.
Sekalipun melakukan catatan ke-4 terpantas, Marquez sekali lagi dilanda masalah teknikal seperti di Sepang di Losail namun juara dunia lapan kali itu mengakui dia tidak bimbang.
"Tidak, hanya ada satu isu teknikal yang mereka selesaikan dengan amat laju," kata Marquez. "Mereka memperbaikinya dengan amat pantas dan saya bertuah kerana ia hari yang stabil."