'JURANG Ducati Dan Pengeluar Lain Dah Mengecil'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/6/20251 min read


DUCATI memberi amaran yang jurang antara pencabarnya di MotoGP sudah mula mengecil.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali, perkara itu dapat dilihat menerusi kejayaan yang diperoleh pelumba Yamaha, Fabio Quartararo di Jerez, Sepanyol.
Pengeluar Itali itu ketika ini berada dalam tempoh paling dominan di MotoGP dan sudah menjulang tiga gelaran dunia terakhir di MotoGP.
Setakat ini, Ducati berjaya membolot kesemua kemenangan dalam Perlumbaan Sprint dan Grand Prix. Begitupun, satu rekod berjaya dipecahkan Yamaha apabila Quartararo meraih petak utama di Jerez.
Juara dunia 2021 itu turut memperoleh tempat kedua pada Perlumbaan GP di belakang Alex Marquez dan berjaya menghalang pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia daripada memintasnya.
Justeru kata Domenicali, persaingan akan bertambah sengit buat Ducati.
"Kejayaan ini adalah detik yang menakjubkan," kata Domenicali kepada GPOne. "Ia adalah hasil yang kami tuai hasil daripada kerja yang kami lakukan sudah lama dahulu, dengan jentera yang baik dan pelumba-pelumba yang hebat.
"Begitupun, kekuatan yang ditunjukkan oleh Fabio Quartararo bermakna pengeluar lain turut bekerja keras, menikmati perkara lain iaitu konsesi. Tidak semua orang ingat yang kami tidak bersaing di kejuaraan ini dengan peraturan yang sama.
"Malah ada pengeluar yang mempunyai peluang untuk melakukan ujian bersama pelumba-pelumba pasukan 'kilang' mereka, membangunkan enjin, menggunaka unit yang lebih.
"Dan hasilnya, saya fikir jurangnya akan menjadi rapat, dan pengeluar-pengeluar lain juga akan mengejar kami."
Berdasarkan peraturan konsesi yang diperkenalkan semula pada musim 2024 membenarkan Yamaha dan Honda untuk bangkit dengan lebih cepat.
Tetapi sejak permulaan musim 2024, Ducati hanya terlepas kemenangan di Grand Prix Amerika Syarikat kepada Aprilia.
