JURANG Ducati, KTM Tak Jauh - Brad Binder
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/31/20251 min read


DUCATI jelas memiliki jentera terbaik di grid MotoGP apabila mendominasi saingan musim lalu tetapi bagi Brad Binder, jurang antara KTM dan pengeluar Itali itu sebenarnya 'tidak begitu besar'.
Ducati mengharungi kempen terbaiknya di MotoGP pada musim 2024 dengan memenangi 19 daripada 20 perlumbaan Grand Prox yang ditawarkan dan menjuarai kedua-dua gelaran dunia kategori pengeluar dan pelumba.
Sekalipun menghuni tangga kedua kategori pengeluar, KTM begitupun dibezakan dengan jurang besar 395 mata di belakang Ducati dan mengharungi kempen tanpa sebarang kemenangan.
Dan sekalipun di beberapa pelumbaan, pelumba-pelumba Ducati berjaya menjarakkan jurang sehingga 10 saat dengan kelompok pengejar, Binder percaya KTM sebenarnya tidak begitu jauh ketinggalan.
"Saya fikir ia berbeza di beberapa tempat," kata Binder ketika majlis pelancaran pasukan itu. "Di sesetengah litar saya fikir kami berada di sana dan kami mempunyai peluang tetapi di sesetengah litar dan di situasi berbeza, ia nampaknya lebih sukar.
"Begitupun jika kamu melihat kepada angka dan lihat kepada jurang per pusingan, ia sebenarnya tidak begitu jauh.
"Jadi saya pernah melihatnya sebelum ini di mana jurang nampak seperti jauh mungkin dalam realiti apabila kami mengambil beberapa langkah yang kecil, seperti dua, tiga langkah, pada akhirnya jurang itu hilang dan mengecil.
"Jadi itulah sasaran kami mengharungi kempen pra-musim ini, terutama dengan ujian di Malaysia dan Thailand. Apabila kami berada di Thailand, saya mahu berada di prestasi terbaik saya."
KTM pada musim ini memulakan kempen dengan situasi kurang menyenangkan apabila syarikat induknya berdepan krisis kewangan yang meruncing.
