JURU Arah Rali Karamjit Singh, Jagdev Singh Meninggal Dunia

SUKAN PERMOTORAN 4 RODA

8/8/20231 min read

JURU arah rali yang 'sinonim' dan mencipta banyak kejayaan bersama pelumba rali legenda negara, Karamjit Singh iaitu Jagdev Singh meninggal dunia pada usia 55 tahun, semalam.

Jagdev, yang sudah bergelumang dalam dunia rali dunia dan tempatan selama lebih 30 tahun menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Subang Jaya, lokasi beliau mendapatkan rawatan susulan masalah gastrousus sejak 12 Julai lalu.

Selain menjadi juru arah Karamjit, Jagdev juga pernah bergandingan dengan beberapa pemandu rali terkemuka antaranya Russell Palmer dari Australia, Gunaseelan Rajoo, Katsuhiko Taguchi dan Kenneth Koh dalam kejuaraan tempatan dan antarabangsa.

Memetik laporan BHarian, Karamjit yang mengakui terkejut dengan perkhabaran itu berkata: "Kehidupan saya lebih seronok, lebih berwarna-warni dan lebih lengkap di sampingnya."

Turut dikenali sebagai Jack dan mendapat julukan 'The Hooligan', Jagdev memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Cisco Racing yang ditubuhkan pada tahun 2021, syarikat yang ditubuhkan untuk menandakan kemunculan semula Karamjit.

Tahun lalu, Jagdev dan Karamjit memenangi 12 trofi dalam tiga perlumbaan di Indonesia dan lebih menarik, gandingan veteran itu hanya dengan menggunakan jentera Proton yang sudah berusia 16 tahun.

Pada Januari tahun ini, gandingan itu turut dinobat sebagai pemenang keseluruhan Kejuaraan Rali Kebangsaan Malaysia (MNRC).