'KAEDAH Jepun Punca Honda Terus Bergelut Di MotoGP'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/21/20241 min read

PELUMBA Jepun, Takaaki Nakagami mendakwa antara punca Honda terus bergelut dan sukar untuk bangkit dalam kempen MotoGP adalah berikutan kaedah kerja pasukan itu yang disifatkan masih terlalu 'Jepun'.

Honda yang kehilangan khidmat bintangnya, Marc Marquez pada penghujung musim lalu membariskan empat pelumba musim ini - Joan Mir, Luca Marini (Repsol Honda) dan Takaaki Nakagami, Johann Zarco (LCR Honda).

Tetapi disebalik segala usaha yang dilakukan untuk bangkit, ia tak dapat diterjemahkan di litar dengan Marini menjadi satu-satunya pelumba yang masih belum mengutip sebarang mata selepas tujuh pusingan.

Seperti Yamaha, Honda turut menerima manfaat daripada peraturan konsesi yang diberikan oleh MotoGP tetapi menurut Nakagami, perhatian yang melampau terhadap perincian walaupun terhadap perkara yang remeh membuatkan mereka ketinggalan.

"Jurutera-jurutera mahu memahami prestasi segala-galanya, malah termasuk perkara yang remeh seperti skru, dan akibatnya tempoh masa untuk membangunkan dan membuat komponen baharu menjadi panjang," kata Nakagami memetik laporan GPOne.

Dan situasi itu jelas memakan masa ketika pelumba mahukan sesuatu yang baharu untuk diuji.

"Pada satu ketika, hanya satu atau dua unit komponen baharu untuk diuji tiba, jadi adalah mustahil untuk mendapat kelebihan daripada perkara baharu ketika perlumbaan," kata pelumba dari Chiba berusia 32 tahun itu.

"Proses untuk membuat keputusan sudah pun panjang, tetapi apabila kami sudah menentukan bagaimana kami akan meneruskannya, akan ada lagi tempoh menunggu.

"Keempat-empat kami mengeluarkan komen yang lebih atau kurang sama dan meminta perubahan yang sama, jadi saya fikir mereka di 'kilang' jelas apa yang salah, dan masalah bagi mereka adalah keselamatan menjadi keutamaan."