TOPRAK Razgatlioglu berjaya membolot dua kemenangan di Pusingan 11 WSBK di Estoril, Portugal minggu lalu tetapi kekalahan di Perlumbaan Superpole diakui membuatkannya berang.
Selepas menjuarai Perlumbaan 1 pada Sabtu, pelumba kelahiran Turki itu begitupun terpaksa berpuas hati menamatkan Perlumbaan Superpole di tempat kedua sebelum bangkit memenangi Perlumbaan 2 pada Ahad.
Sekalipun dua kemenangan memberikan pelumba pasukan ROkit BMW Motorrad itu kelebihan menjelang pusingan terakhir WSBK musim ini di Jerez, Sepanyol minggu ini, keputusan pada perlumbaan lebih singkat itu disifatkan 'bencana'.
"Saya amat gembira hari ini terutama pada Perlumbaan 2," kata Razgatlioglu kepada WorldSBK.com.
"Tetapi Perlumbaan Superpole bagi saya adalah bencana kerana saya mempunyai kepantasan dengan tayar perlumbaan, tetapi pada penghujung perlumbaan apabila saya melihat bendera... saya kalah.
"Saya fokus kepada Perlumbaan 2 kerana saya perlu menang sekali lagi, terutama Perlumbaan 2 adalah perlumbaan yang panjang dan memberikan lebih banyak mata dan akhirnya kami meraih banyak mata untuk kejuaraan."
Sekalipun berjaya membalas kekalahan kepada juara perlumbaan Superpole, Nicolo Bulega pada Perlumbaan 2, Razgatlioglu mengakui marah dengan keputusan yang diperoleh.
"Saya masih amat mara bagi Perlumbaan Superpole kerana saya menggunakan tayar perlumbaan," kata Razgatlioglu.
"Saya tidak menggunakan tayar SQC (tayar yang digunakan ketika kelayakan) kerana saya percaya yang pada penghujung perlumbaan tayar itu akan mula kehilangan cengkaman tetapi saya terkejut ia tidak menurun."
"Tayar saya berputar dengan amat banyak, tetapi dia (Bulega) ada kelebihan besar terutama ketika selekoh terakhir. Saya hanya berusaha dan ia amat hampir tetapi saya kalah.
"Apapun, saya mendapat dua kemenangan lebih-lebih lagi dalam perlumbaan yang panjang. Perlumbaan sudah berakhir dan saya amat gembira kami menang kembali, ini amat bagus untuk saya selepas kecederaan besar (Magny-Cours)."