'KALAHKAN Marc Marquez Bermakna Kalahkan Pelumba Terbaik Dalam Sejarah'
Pelumba Aprilia Racing, Jorge Martin kini sedang mendahului kedudukan Kejuaraan Dunia dengan kelebihan 14 mata di depan pelumba pasukan Trackhouse Aprilia, Ai Ogura dengan Marc Marquez di tangga ke-3, ketinggalan 18 mata
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/15/20261 min read


JORGE Martin sedar dengan tugas berat yang menantinya dalam misi mempertahankan kelebihan selaku pendahulu kejuaraan MotoGP musim ini, terutamanya berdepan pelumba yang dilabelnya sebagai 'terbaik dalam sejarah', Marc Marquez.
Menjelang rehat musim panas, Martin yang beraksi bersama pasukan Aprilia Racing kini sedang mendahului kedudukan Kejuaraan Dunia dengan kelebihan 14 mata di depan pelumba pasukan satelit Aprilia, Ai Ogura (Trackhouse Aprilia).
Tetapi lebih 'menakutkan', pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez hanya ketinggalan 18 mata di belakang selepas cemerlang menyapu bersih kemenangan perlumbaan Sprint dan Grand Prix (GP) di Sachsenring, Jerman.
Kata Martin, kebangkitan Marc Marquez disifatkan luar biasa memandangkan pelumba Sepanyol itu pernah ketinggalan lebih 100 mata daripada pendahulu kejuaraan hanya pada empat pusingan yang lalu.
Dalam masa sama, prestasi Martin yang juga juara dunia MotoGP 2024 dilihat sedikit merosot apabila hanya mampu meraih dua podium GP sejak kemenangan terakhirnya di Le Mans pada Mei lalu.
"Sudah tentu, cabaran utama adalah untuk menewaskan pelumba terbaik dalam sejarah. Jadi, kemampuan untuk berada di litar dan bersaing hebat dengannya sahaja sudah memberikan satu perasaan yang menakjubkan," kata Martin.
"Saya akan cuba berikan 100 peratus, memperbaiki diri setiap hari dan jika saya mampu bersaing dengannya sehingga ke penghujung musim, ia adalah sesuatu yang luar biasa.
"Buat masa ini, tahap dia jauh lebih baik daripada kami, tetapi jika saya serasi 100 peratus dengan jentera, saya yakin boleh mencabarnya."
Jika Martin berjaya mencipta sejarah merangkul kejuaraan dunia sulung MotoGP buat pasukan Aprilia musim ini, dia dijangka membawa plat prestij nombor 1 itu bersama-samanya apabila berhijrah menyertai pasukan Yamaha pada musim hadapan.

