KALAU Kekal Di Honda Mental Saya Rosak - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/22/20241 min read
MARC Marquez mendedahkan kesihatan mentalnya akan 'rosak' jika dia kekal di Repsol Honda mengikuti kontraknya dan berkemungkinan menggantung sut lumbanya selepas kempen MotoGP musim ini berakhir.
Bintang kelahiran Sepanyol itu boleh dianggap sebagai 'anak emas' di Honda selepas menghadiahkan enam gelaran dunia MotoGP bersama pengeluar Jepun itu.
Dan sekalipun memperoleh kontrak lumayan yang menyaksikannya kekal sehingga musim ini berakhir, Marquez memilih untuk angkat kaki lebih awal dan apa yang mengejutkan, menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini Racing.
Selepas tiga pusingan berlangsung, tindakan juara dunia itu tampak tepat apabila dia kambali berlumba secara kompetitif di kelompok depan, malah pada satu ketika memimpin perlumbaan sekalipun menunggang jentera Ducati musim 2023.
"Ia keputusan yang amat-amat sukar," kata Marquez kepada TNT Sports. "Ia tiada kaitan dengan mendengar kepada rasa hati saya. Saya hanya berfikir mengenai apa yang terbaik untuk masa depan saya.
"Masa depan saya adalah saya mahu menjadi pelumba MotoGP untuk beberapa tahun lagi.
"Pasukan Repsol Honda adalah kehidupan saya, karier saya. Ia amat-amat sukar. Mekanik saya, jurutektik, penaja-penaja semua ada di sana.
"Saya berkata kepada mereka 'Mungkin saya akan meneruskan satu lagi tahun di sini dan kemudian mengakhiri karier saya kerana kesihatan mental saya juga akan rosak'.
"Jadi saya mengambil keputusan ini. Kini saya boleh berfikir mengenai pasukan mana yang akan saya berlumba untuk tahun depan."
Sekalipun menunggang jentera Ducati Desmosedici GP23, Marquez tampak cukup kompetitif termasuk meraih dua kedudukan podium pada Perlumbaan Sprint di Portimao dan Austin.
"Saya menikmatinya," kata Marquez yang ketika ini menghuni tangga ke-8 keseluruhan dalam carta pelumba dan menjadi pelumba terbaik Ducati menggunakan GP23.
"Tidak sama untuk menuju minggu (perlumbaan) dan berfikir untuk berada di kedudukan 10 terbaik, atau 5 terbaik atau bersaing untuk podium," kata Marquez.
"Ini adalah alasan utama mengapa saya mengambil keputusan ini, sebagai jawapan kepada diri saya jika saya masih cukup kompetitif atau tidak.
"Kini saya kompetitif untuk bersaing di kelompok lima terbaik dengan pelumba-pelumba di depan. Ia membuatkan saya gembira."
Ketika Marquez kembali memperoleh 'senyumannya' yang hilang, Honda jelas terus bergelut dengan pelumba yang menggantikannya tempatnya di Repsol Honda, Luca Marini menjadi satu daripada dua pelumba yang belum meraih sebarang mata musim ini.